Sunday, December 31, 2017

Ringkasan 2017 Amna Shark

2017 telah sampai ke penghujungnya. Seperti tahun-tahun sebelum ini, suka untuk aku rumuskan kisah setahun aku agar menjadi catatan perjalanan hidupku.

Azam tahun 2017 yang dilukis oleh ku.

Pesanan dari aku yang 2016 kepada aku yang 2017. Terima kasih, wahai aku. 


Ini merupakan projek baju Sucomi. Semua ahli Aretis United melukis watak dari komik masing-masing, memakai baju Sucomi ini.

Aku telah menerima kelahiran Baby-baby ku yang banyak menemani aku sepanjang tahun ini. Cuma, kini, dua Baby telah mati. Hanya seekor sahaja Baby yang masih di sisiku.

Ini merupakan satu keajaiban yang terjadi pada diriku dalam tahun 2017. Kisah aku melukis komik, tersiar dalam akhbar Sinar Harian. 


Ini merupakan pameran solo Abah, di Balai Seni Visual Negara.


Aku membawa rakan-rakan pelukis komik ku, melawat pameran Abah.

Melawat pameran Yak Bok Te, Amin Landak. Pertama kali bertemu beliau.

Aku dan Nazr Syaff menjadi penolong buat Tuan Sireh, untuk Hari Pelancaran Rumah Kartun & Komik Malaysia. Dalam gambar ini, kami bersama Syue dan Nazirul.

Menyertai Cabaran Melukis Komik 24 jam di Pekan Kartun v4 di Zoo Taiping.

Hasil ku di Pekan Kartun.

Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Umi terpilih untuk sesi bersama penulis di ITBM. Namun, secara tak dirancang, aku telah menjadi moderator untuk sesi tersebut. 

Aku, Nazr Syaff, Inderawasih dan Anhaz menonton teater Perang Uhud yang diadakan di USIM. Pertama kali melihat lakonan Khairil walaupun sudah ku tahu sebelum ini bahawa beliau merupakan pelakon teater.

Sesuatu yang tak dirancang, terjadi. Aku telah ke Osaka hanya kerana dapat tiket flight murah.

Aku ke Osaka, bersama Diana, rakan serumah ku. Ianya sebuah pengalaman yang bermakna. Menerokai dan menjelajahi Osaka dengan bajet yang terhad. Ramai yang kagum apabila aku menceritakan bahawa, aku ke sana dengan RM2000 sahaja. Ianya termasuk tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan, makan, tiket masuk ke mana-mana tempat di sana dan cenderahati. Semuanya dengan RM2000 sahaja.

Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang. Ianya raya yang sayu bagi ku. Kerana akhirnya aku kena memahami konsep 'move on'. Jika raya-raya sebelum ini, buka puasa terakhir, selalunya ramai-ramai berkumpul buka puasa bersama di dapur rumah Tok. Suasana yang bising dan meriah. Sepupu-sepupuku ramai, tambah pula dengan anak-anak sepupu yang semakin ramai. Kini, Tok telah tiada. Sepupu-sepupu ku masing-masing beraya rumah sendiri. Begitu juga kami, beraya di rumah sendiri. Dua dari adik beradik ku pula telah berkahwin dan beraya dengan keluarga mertua masing-masing. Tinggallah kami lima sekeluarga saja. Namun, di sinilah aku belajar untuk ;move on'. 'Move on' sahajalah amna. Inilah hidup. Oh, dan lagi satu yang sayu adalah, sepanjang tahun 2017, aku tak pernah pulang ke Kedah. Rindu.


Beraya bersama rakan-rakan tersayang.

Beraya bersama ahli Aretis United.

Di Comic Art Festival Kuala Lumpur 2017 (CAFKL). Antologi Seram dari Matkomik. Terdapat komik ku di dalamnya.

Berjumpa rakan-rakan lama dari diploma.

Kali pertama, Aretis United menjadi serius. Kami mula buka booth di Anifest 2017. Bermula dari saat ini, Aretis United bukan lagi sekadar komuniti. Kami lebih dari itu.


Aku, bersama keluarga ku bercuti di Bali.



Aretis United di Kotakomik.


Doodle Battle di Kotakomik. Aku, Amna Shark dari Aretis United, telah bekerjasama dengan Maryam Najeh dari Daie Kreatif Venture.

Bersama housemates tersayang. Mereka beri Ikan berbaju Amna Shark sempena hari jadi ku. Telah berpindah keluar dari rumah mereka setelah tukar kerja. Sepanjang menetap di mana-mana rumah sewa selama ini, cuma kali ini aku merasai dapat housemates sekepala. 


Aku dan Umi, bersama Tuan Roslan Madun di malam Puisi dan Syair ASEAN.

Bergambar bersama Kabir Bhatia semasa hari terakhir saya bekerja di KRU. 



Plot twist 2017 ku. Setelah berhenti kerja dari KRU, aku membuka Amna Shark Studio, betul-betul apabila 2017 hanya berbaki lagi 3 bulan. Tak pernah ku jangka akan ku ambil tindakan ini seawal ini. Walaupun perkara sebegini telah lama dirancang, semenjak sebelum aku grad degree lagi.




Menyertai Pertandingan Komik Alam Sekitar di Putrajaya.


Aretis United, lagi sekali membuka booth. Kali ini di Pameran Inkramadhan di Rumah Kartun dan Komik Malaysia.


Menghadiri pameran rakan-rakan karib ku, Nik dan Zira. Pameran Opposites Abstract.


Aku mengadakan kelas bimbingan bagi pelajar yang akan menduduki SPM seni kertas 2.


Salah seorang rakan karibku Jue, mendirikan rumah tangga. Cantiknya dia.


Membawa adikku, Najaa yang kali pertama datang ke Comic Fiesta. Dia bersama rakannya. Gembira betul lihat mereka gembira.


Bersama rakan-rakan pelukis komik  berkumpul di Comic Fiesta 2017.


Komik kerjasama aku dan Oz Ishak. Cari Ganti, kini dalam proses untuk ke peringkat seterusnya. Alhamdulillah. Satu lagi keajaiban terjadi dalam 2017.


Menghadiri KIT Pelukis Komik yang dikendalikan oleh Aman Wan dan Danial Haikal. Dalam gambar ini, adalah ahli-ahli Aretis United yang turut sama menghadiri kelas tersebut.

Komik oleh aku, Amna Shark, untuk Cabaran Melukis Komik Online Malaysia 2017. 'Rima Pawana' adalah kisah mengenai permainan wau. Ini kerana, tema tahun ini adalah 'sukan'.


Pada penghujung tahun 2017, Aretis United telah bekerjasama menghasilkan kalendar AU 2018. Bagi yang berminat untuk dapatkannya, bolehlah pergi ke facebook page: Aretis United.


***
Syukur Alhamdulillah untuk 2017. Banyak perkara terjadi. Benarlah kata orang, dalam setahun, macam macam boleh jadi. Semua aku ambil sebagai pengajaran. Apa yang boleh aku kata selepas selesai menulis ringkasan tahun ini, aku tersedar bahawa 2017 ku, banyak perkara 'tiba-tiba'. Membuatkan, aku tak dapat jangka, apa yang menanti ku dalam 2018 nanti. Selamat maju jaya wahai aku di 2018.


Thursday, November 30, 2017

Amna Shark Studio

 Dahulu semasa aku masih lagi merupakan pelajar Universiti, aku sudah angan-angan bahawa satu hari nanti setelah aku tamat belajar, akan ku buka sebuah studio. Akan ku miliki sebuah studio, khas untuk ku berkarya.

 Ketika aku sudah bekerja, aku hanya mampu miliki bilik sewa. Namun, itu tak hentikan aku dari terus berangan-angan bahawa satu hari nanti, akan ku miliki juga sebuah studio. Sambil-sambil lalu dikawasan pejabat tempat aku bekerja, aku melihat-lihat pejabat sebelah yang masih kosong untuk disewa. Dalam hati terdetik, alangkah indahnya jika ruang ini menjadi studio ku. Rakan sekerja ku, juga turut suka buat lawak setiap kali lalu depan pejabat kosong itu: "Studio Amna, Studio Amna." katanya. Aku senyum sahaja sambil dalam hati, mengaminkan doanya. 

  Kini, telah sebulan berlalu sejak Amna Shark Studio mula beroperasi. Alhamdulillah! Angan-angan ku menjadi nyata. Inilah tempat yang telah lama aku idam-idamkan semenjak zaman belajar. Ruang yang cukup luas untuk aku berkarya! Tempat ini masih kosong kerana masih baru. Akan ku bangunkannya perlahan-lahan. Benar, perjuangan untuk mendapatkan tempat ini dan berusaha mengekalkannya, adalah tidak mudah. Namun, semoga ada kemanisan dalam kesusahan ini.

 Seorang rakanku berkata kepadaku: "Dulu awak cakap lepas kahwin nanti nak suruh suami sediakan satu ruang untuk studio awak. Kini, awak dapatkan sendiri studio tanpa perlu tunggu suami. I'm so proud of you" Aku tersenyum sambil dalam hati berkata: "Yeah.. me too. I'm proud of myself" Salahkah aku nak bangga dengan diri sendiri atas satu pencapaian kecil ini? Perjalanan ini tak mudah. Tak apalah aku bangga dengan diri sendiri sekejap. Namun, disebalik susah payah aku mendapatkan tempat ini, ada insan-insan lain di sisi ku yang sentiasa menyokong dan membantu. Terima kasih ya Allah kerana memberi aku mereka semua.

Amna Shark Studio. Semoga aku manfaatkan tempat ini dengan menghasilkan banyak karya-karya agung. Amin.. 


Wednesday, October 25, 2017

Senyap tandanya mengatur strategi

Semenjak bulan lepas, blog ini sepi tanpa apa-apa cerita baru. Sepinya blog ini adalah kerana, kehidupan aku sedang dalam fasa perubahan. Fasa perubahan dari sebuah kehidupan lama kepada satu kehidupan baru. Huru-haranya perubahan ini sehingga aku tak berkesempatan menaip di sini.



September yang sakit
Aku mencecah usia 27 tahun pada September baru-baru ini. Pada bulan September, company tempat aku bekerja, berada dalam fasa hampir tutup. Aku memilih untuk setia bersama company tersebut sehingga saat akhir kerana aku mahu bersama-sama ahli kumpulan aku, menyelesaikan storyboard terakhir di situ.

Hendak menambah garam di luka, bulan terakhir aku bekerja di situ, kami perlu ulang alik hari-hari dari Cyberjaya ke Mutiara Damansara. Keluar pagi, sampai ke rumah waktu malam, maka aku terus mengantuk dan tidur tanpa sempat menyiapkan komik. Komik Pendar Ratna ku, hampir-hampir ditendang oleh Sucomi gara-gara melanggar deadline.

Hari-hari di Mutiara Damansara adalah satu penyiksaan. Aku tak kisah melukis storyboard. Tapi kehidupan di paksa ke sana hari-hari. Tiada kebebasan. Aku menjadi satu macam stress yang tak pernah lagi aku alami. Disebabkan stress, aku makan dalam kuantiti yang banyak setiap hari. Sehinggalah, aku jatuh sakit. Pergi hospital sehingga check jantung. Alhamdulillah dah sembuh.

Aku bagai ternanti-nanti September berakhir semata-mata kerana tak larat dengan kehidupan sebegini. Tamat sahaja September, aku merasai satu perasaan merdeka yang tak pernah aku rasa. Namun, sebenarnya aku gembira untuk peluang bekerja di sini. Aku berkenalan dengan ramai orang hebat-hebat. Dan, aku bangga untuk berada bersama-sama company hingga saat akhir mereka. Team storyboard hanya 4 orang. Menjadi 4 orang yang terakhir, itu satu penghormatan bagiku.

Tatkala ucapan penutupan dari supervisor kami, beliau mengucapkan terima kasih: "Thank you for being with us until today. You're asset to the company" Mendengar perkataan 'asset' tu saja, air mata aku bagai hendak mengalir. Aku ada sejarah hitam, dengan company aku bekerja sebelum ini, mereka melayan pekerja seperti sampah. Mereka tinggi diri kononnya ramai lagi orang di luar sana mahu bekerja dengan mereka. Oleh itu mereka tidak hargai pekerja. Jadi, apabila aku dihargai oleh company yang aku bekerja kini, walau hanya ucapan terima kasih, aku berasa gembira sekali. Begini rupanya perasaan dihargai company.

Tamatlah kisah September yang sakit.

Oktober, plot twist 2017
Siapa sangka, menjelang Oktober, ia merupakan plot twist bagi kisah 2017 ku. Mengapa aku katakan ianya plot twist? Kerana keletihan bekerja bawah company, aku memutuskan untuk tidak lagi bersama-sama mana-mana company setelah kontrak ku dengan company terkini telah berakhir.

Aku pilih untuk cuma menghasilkan painting dan komik, atau mungkin beberapa kerja sambilan untuk meneruskan hidupku. Namun, untuk membuat begini, aku perlukan ruang. Bilik sewaku di Cyberjaya, rasa bagai tidak perlu lagi memandangkan ianya sempit jika dibuat studio, malah ia jauh dari rumah kedua orang tua ku.

Lantas, aku mengambil keputusan yang memerlukan keberanian yang tinggi, iaitu menyewa sebuah ruang kedai dan menjadikan ia studio ku. Idea ini, sudah aku miliki sekian lama. Namun, baru kini aku punyai keberanian yang gila untuk laksanakannya.

Aku mendapat pelbagai reaksi dari orang sekeliling. Ada yang menyokong dan memuji. Ada juga yang kata, ianya bagai aku downgrade kehidupan ku. Maklumlah, daripada kerja dengan gaji yang sedap, tiba-tiba ambil keputusan yang tinggi risiko ini. Aku tak salahkan mereka yang berkata begini. Ya, kamu betul. Aku downgrade kan kehidupan ku. Aku gila. Aku dambakan sebuah kehidupan penuh kebebasan ini, lebih dari kehidupan duit banyak.

Namun, buat sesiapa yang terfikir untuk lakukan perkara yang sama sepertiku, sila jangan tiru gila aku. Aku lain. Aku tiada apa untuk dikesalkan. Tidak punyai anak dibawah tanggungan buat masa ini. Tidak punyai hutang PTPTN, hutang rumah mahupun hutang kereta. Aku takkan tarik sesiapa andai aku jatuh. Aku jatuh sendiri. Aku tiada kerisauan. Kerana itu aku berani ambil tindakan gila ini. Aku jadi tekad, lebih-lebih lagi setelah aku terbaca artikel bahawa, apabila kita tua, salah satu perkara yang kita kesalkan adalah, bekerja dalam pekerjaan yang tak diminati. Oleh itu, kini aku sedang cuba buat apa yang aku minati.

Mengatur studio tidak mudah. Aku rancang elok-elok perbelanjaan yang harus aku keluarkan demi menyediakan studio ini. Kerisauan dan ketakutan aku, tetap ada. Namun percayalah, aku tanggung semua kerisauan dan ketakutan itu sendiri. Sendiri! Memang perjalanan hidup ku banyak sendiri. Benar aku ramai insan tersayang di sisi. Namun apa yang telah aku lalui dan tempuhi, kebanyakannya sendiri. Oleh itu, berhenti buat andaian sebarangan mengenai ku. Betapa aku susah payah untuk menjadi kuat.

Tatkala cerita ini ditaip, aku tunggu masa sahaja lagi untuk siapkan studio ku. Amna Shark Studio bakal tiba! Inilah plot twist 2017 ku!



Thursday, August 24, 2017

Ada apa dalam sketchbook 3

Sejak dahulu, aku dididik untuk membawa sketchbook ke mana sahaja dan lukis apa sahaja yang terlintas untuk aku lukis. Ajaran lecturer ku ketika aku baru menjejaki dunia fine art. Sehingga kini, aku praktikkan ajaran tersebut. 

Masa terus berlalu, bilangan sketchbook aku terus membiak. Apabila aku meneliti lukisan-lukisan dalam sketchbook aku, aku dapat lihat perkembangan diriku. Bukan perkembangan terhadap skill melukis. Tetapi kematangan dalam berfikir. Ini kerana, setiap lukisan aku menunjukkan pemikiran aku ketika lukisan tersebut dilukis. Orang lain mungkin tidak memahami, tetapi aku tahu setiap kisah di sebalik setiap lukisan tersebut.

Kini, aku ingin mengambil kesempatan untuk tayangkan sedikit apa isi dalam sketchbook ku.


"Bukan Hero" Sebuah lukisan berdasarkan mimpi. Aku menjadi pembantu kepada seorang superhero yang amat kuat. Aku merupakan pelajar kepada hero tersebut. Pada suatu hari, aku mendapat tahu bahawa hero tersebut sebenarnya penjahat tetapi berpura-pura menjadi hero kepada masyarakat supaya memudahkan kegiatan jahatnya dijalankan. Selepas mendapat tahu perkara tersebut, aku benci dia. Tetapi aku pura-pura tak tahu kerana aku tahu kekuatan aku belum mampu untuk melawannya. Sebuah kisah yang menguji adakah aku berani melawan kejahatan jika aku tahu aku lemah?


Merenung bulan. Dilukis ketika bulan mengambang. Bulan penuh ada satu kuasa luar biasa. Setiap kali merenungnya, aku tak dapat mengalihkan pandangan ku ke tempat lain. Ajaib bukan? Bulan juga mengingatkan aku pada pepatah "Pungguk rindukan bulan". Adakalanya, aku memilih menjadi bulan yang dirindukan Sang Pungguk. Bukan kerana sifat tinggi diri, tetapi, andai kau tak berani mendampingiku, jadilah kau pungguk selamanya. Aku rela jadi bulan, takkan aku rendahkan diri aku semata-mata supaya aku mencapai level yang kau berani dampingi.


Berlatih melukis binatang. 


Senja Nan Merah. Dilukis sambil mendengar lagu Senja Nan Merah nyanyian Awie dan Ziana. Lirik dan melodi lagu tersebut, seakan akan sebuah lukisan sehingga aku mampu membayangkan imej-imej lukisan senja.


Amna Shark sebagai Ursula. Jika orang ramai menonton animasi Disney princess, kebiasaannya mereka mempunyai princess kegemaran masing-masing. Jika aku, selain princess kegemaran, aku juga miliki villain kegemaran. "I'm a very busy woman and I haven't got all day!"

Itulah sedikit sebanyak isi dari sketchbook ku untuk tatapan pengunjung blog ini. Untuk sketchbook lama ku, boleh lihat di sini:

Ada apa dalam sketchbook 2
Sketcbook peribadi Cik Amna

Siapa lagi ada tabiat memenuhkan sketchbook sendiri? Angkat tangan!!

Monday, July 31, 2017

Gathering Raya Aretis United dan Sucomi

Kredit poster: Haikal Adnin

Pada 23 Julai 2017, Aretis United telah berkumpul untuk menjayakan 'Gathering Raya Aretis United & Sucomi'. Setelah melalui proses perbincangan di kalangan Aretis United, akhirnya kami berjaya laksanakan plan ini. Selain Aretis, (gelaran pengkarya di Sucomi) turut hadir Bos dan para editor Sucomi. Malah, beberapa rakan-rakan pengkarya juga hadir.


Hasil karya gandingan para hadirin.

Kredit gambar: Syamil Nor Lani



Kredit gambar: Syaamil Nor Lani

Ianya merupakan kenangan buatku. Gembira dapat berkumpul bersama rakan-rakan seperjuangan dalam industri ini.