Thursday, September 22, 2016

Kakak Taska




Mahu baca cerita selanjutnya? Boleh baca di sini. Kakak Taska merupakan komik terbaru dari ku, dibuat untuk menyertai Pertandingan komik seram di laman web Matkomik.

Stail lukisan yang aku gunakan untuk komik ini, berbeza daripada mana-mana komik serius ku yang lain. Tidak seperti Pendar Ratna, Gema Pemikiran, Duga Jeladeri dan lain-lain. Namun, mengapa aku gunakan stail 'main-main' begini untuk satu pertandingan serius? Ini kerana aku sedang berekperimentasi dengan penerimaan orang ramai terhadap stail lukisan 'main-main' ini. Aku sedang usahakan satu komik yang aku belum boleh sebut tajuknya. Komik tersebut menggunakan stail begini. Sebelum komik tersebut muncul, Komik Kakak Taska ini muncul dahulu sebagai percubaan.

Memandangkan sudah ku tulis bahawa aku sertai ini sebagai eksperimen, maka benarlah, aku tidak mengharapkan kemenangan. Namun, aku tetap harapkan undian dari orang ramai agar aku tahu berapa ramai sebenarnya boleh menerima stail lukisan begini. Jadi, jika anda salah seorang daripada pembaca komik ku dan menantikan kemunculan komik yang sedang aku usahakan itu, tolong undi seikhlas hati. Terima kasih.

Akhir sekali, apa pendapat anda mengenai Kakak Taska? Mari bimcangkan di bawah.


*Oh ya,kisah ini memang berdasarkan kisah sebenar. Cuma ending sahaja ditokok tambah.






Monday, September 19, 2016

Rakan seperjuangan yang tak terlihat


Ku coretkan luahan di atas, buat rakan seperjuangan ku, Bamboo nib. Ya, Bamboo nib. Tahu Bamboo nib itu apa? Mata bagi pen teblet untuk pengkarya yang menggunakan digital media.

Alkisahnya begini. Baru-baru ini ku rasa tidak selesa menggunakan pen tablet ku. Apabila aku teliti pada matanya, kelihatan matanya sudah haus, pendek, serong, hampir tenggelam ke dalam. Bila difikirkan semula, aku telah menggunakan tablet ini sejak tiga tahun yang lepas. Sepanjang aku menggunakannya, aku tak pernah tukar nib tersebut. Jika tak silap aku, dalam kotak pembelian tablet ini dahulu, ada tersedia nib-nib gantian. Lantas, aku segera menyelongkar kembali kotak tablet ku yang masih tersimpan rapi. Benar seperti sangkaan ku, nib gantian berada di situ.

Setelah bertanya kepada rakan yang menggunakan digital media, juga setelah menonton youtube bagaimana hendak menukar nib, aku pun segera menukarnya. Aku memang dikira MASIH baru dalam alam digital media. Jadi, maafkanlah kebodohanku dalam tidak tahu menukar nib.

Selesai menukar nib, ada satu perasaan bagai baru melihat dunia. Betapa bezanya perasaan menggunakan nib baru. Aku mencapai nib lama untuk dicampakkan ke dalam tong sampah. Namun, entah mengapa terasa berat hati ku untuk membuangnya. Lalu, saat ku merenung nib lama, pelbagai memori muncul secara tiba-tiba ke benak fikiranku.

Ini, nib pertama yang digunakan bersama tablet pertama ku. Bersama dia, aku belajar digital media. Bersama dia, aku bereksperimen untuk pelbagai kerja seni. Bersama dia, aku mengejar deadline. Bersama dia, aku mencari rezeki halal. Bersama dia, aku menghasilkan pelbagai komik. Bersama dia, aku merasai kegagalan dan kejayaan. Bersama dia, bersama dia, bersama dia. Semuanya mengenai karier ku, ada dia di sebalik tabir.

Aku terus membatalkan niat untuk membuang nib lama ini. Sungguh tak sampai hati. Aku pun melekatkan nib lama itu ke dalam sketchbook ku agar aku masih boleh menyimpannya walau dia sudah tidak dapat digunakan.

Mungkin bagi pandangan orang lain, ini hanyalah kepingan plastik. Tapi bagi ku, ini adalah rakan seperjuangan. Rakan seperjuangan yang tidak terlihat selama ini. 


Thursday, September 15, 2016

2 September 2016


Lukisan oleh rakanku, Daud.

Pada Jumaat 2 September 2016, usiaku genab 26 tahun. Wah, hari Jumaat. Semoga hari jadiku ada keberkatannya. Bisik hati ku di pagi Jumaat itu. Namun,  dua minggu telah berlalu semenjak hari jadi aku, aku... entah apa perasaan ini. Serba tak kena. Tidak, bukan kerana aku tak suka menjadi tua, bukan! Aku tak kisah angka dalam umurku. Sebab, kematian tidak mengira usia. Tapi, apa perasaan serba tak kena ini? Mungkin itu petanda dosa banyak. Umur meningkat, dosa pun meningkat?Astaghfirullah.

Apa yang tak kena itu, mungkin dari segi hala tuju. Sudah ku tahu aku mahu ke destinasi A, mengapa aku mengikut jalan yang menuju ke destinasi B? Ahh.. rumit.

Lukisan oleh Hanza.


Lukisan oleh Najwa.

Kita cuba pandang dari sudut positif lah. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Tak begitu, Amna?

Sekian sahaja coretan hari jadi ku yang sudah agak lewat aku tulis. Semoga berjumpa lagi.