Thursday, July 21, 2016

Aretis United Raya 2016



Pada 16 Julai 2016, Aretis United, pergi beraya dengan editor dan warga Sucomi. Bertempat di NU Sentral sahaja memandangkan itu adalah tempat yang mudah dicapai oleh ramai ahli.

Ianya sebuah pengalaman yang manis. Aku sertakan gambar dalam post kali ini, untuk tujuan rekod para sejarawan masa hadapan.


Melukis, dan bertukar-tukar lukisan. Ini adalah aktiviti biasa kami setiap kali bertemu.

Beli Misi Fizik dari Maryam.

Maryam lukis situasi yang terjadi pada hari tersebut.

Antara lukisan yang aku perolehi daripada mereka.

Ini pula antara lukisan aku yang ku lukis pada sketchbook mereka.

Terima kasih semua yang hadir pada hari tersebut. Maaf kepada yang teringin hendak hadir tetapi tak mampu atas faktor lokasi. Semoga kita berpeluang jumpa lagi.

Pendek sahaja kisah kali ni. Aku sedang siapkan projek lain, terpaksa had kan masa menulis di blog. 

Wednesday, July 13, 2016

Teman Ghaib: Rakzhan

Gambar diambil dari blog Hasif Rayyan.


Ulasan novel Teman Ghaib: Rakzhan oleh Amna Shark

Teman Ghaib: Rakzhan mengisahkan Hasif, seorang penulis yang merasakan dirinya tidak mampu menulis, disertakan dengan konflik dalaman dalam dirinya. Namun, penulis ini memiliki teman ghaib (imaginary friend) yang bernama Rakzhan, menemani beliau mengharungi hidup.

Rakzhan, selaku rakan imaginasi yang hanya wujud di mata watak utama sahaja, banyak memberikan khidmat nasihat kepada Hasif. Hasif sendiri akui bahawa Rakzhan hanya wujud di mata nya. Namun, kehandalan penulis menceritakan keakraban hubungan mereka menjadikan pembaca turut merasai kewujudan Rakzhan. 

Cerita ini menjadikan depresi sebagai tema utama. Ini membuatkan para pembaca terasa dekat dengan diri masing-masing memandangkan depresi merupakan salah satu mental disorder yang biasa terjadi. Depresi boleh terjadi pada mana-mana peringkat umur, namun kes paling banyak terjadi adalah pada awal remaja. Ini ditunjukkan dalam novel ini di mana 'Hasif' yang berusia 15 tahun menghantui watak utama.

Selain itu, cerita ini juga menekankan tentang impian. Adakah kita yakin dengan impian kita? Atau adakah kita bakal kuburkan impian kita kerana alasan takdir? Lagi sekali, penulis berjaya memikat pembaca dengan isu yang dekat dengan diri pembaca.

Teman Ghaib: Rakzhan, sebuah kisah mengenai persahabatan, impian dan keyakinan. Aku sendiri sukakan cerita ini dan berharap agar ia dapat diterbitkan menjadi bahan bercetak satu hari nanti. Bagi yang belum membaca cerita ini, bolehlah berbuat demikian. Jika anda sudah baca, sudilah kongsikan pendapat anda mengenai cerita ini.



Teman Ghaib: Rakhzan dan suatu kisah catatan pengalaman ku

Kira-kira berapa bulan yang lepas, aku telah membaca novel di wattpad, bertajuk Teman Ghaib: Rakzhan. Pada mulanya, aku membaca novel tersebut hanya kerana penulisnya, Hasif Rayyan, merupakan sahabatku. Ketika itu, novel tersebut baru menyiarkan satu bab sahaja. Selesai sahaja membaca bab pertama, ada perasaan kurang selesa di hati ku. Tidak selesa kerana cerita tersebut terlalu menggambarkan hati aku. Sesuatu yang aku tak mampu ungkapkan selama ini, tetapi penulis ini ceritakan dengan jelas perasaan tersebut. Selesai membaca bab pertama, aku menangis sepuas-puasnya.

Apabila bab kedua disiarkan, aku pilih untuk tidak membacanya kerana menjaga hati sendiri. Beberapa bulan kemudian, (aku kurang pasti dengan tempoh ini) novel Teman Ghaib: Rakzhan telah tamat. Aku putuskan untuk bacanya. Oleh kerana bab pertama sahaja sudah menarik, aku teruskan baca walau ia bakal mengusik hati aku.

Aku bercadang untuk menghabiskan bacaan dalam satu malam. Pada malam dua hari lepas, aku baring di katil aku sambil tangan membelek-belek telefon pintar ku. Aku klik pada cerita Teman Ghaib: Rakzhan dan baca dengan penuh khusyuk. Semasa membaca bab 6 cerita tersebut, aku terlena.

Ketika lena diulit mimpi, aku terlihat Rakzhan dalam mimpi ku. Mungkin kerana terlalu menghayati cerita tersebut sehingga tertidur, maka mimpi ini terjadi. Rupa Rakzhan, berbeza sekali dari apa yang Hasif gambarkan dalam novelnya. Tapi entah bagaimana aku boleh tahu bahawa makhluk itu adalah Rakzhan. Kulitnya gelap, rambutnya hitam, ikal dan agak panjang walaupun tidak mencecah bahu. Tanduknya berbeza dari yang Hasif gambarkan dalam novelnya. Bahunya pelik sekali.

Terjaga sahaja dari tidur, aku cepat-cepat merakam kembali rupa yang aku lihat tadi ke dalam memori aku. Aku lukis Rakzhan yang aku lihat dalam mimpi ku dengan niat, aku mesti tunjukkan rupa Rakzhan yang muncul dalam mimpiku kepada Hasif. Belum sempat aku siapkan lukisan tersebut, tiba-tiba rasa seram sejuk memandangnya. Maka aku turunkan tanda tangan pada lukisan tersebut, menandakan ianya sudah siap dilukis walhal aku sendiri masih belum berpuas hati dengan warna dalam lukisan tersebut.

Selesai menghabiskan bacaan Teman Ghaib: Rakzhan, timbul pelbagai perasaan dalam diriku. Pertama, ini adalah sebuah cerita yang patut dipuji! Kedua, sakitnya dada aku. Setiap kata-kata Rakzhan bagai tuju kepada diri aku sendiri. Rakzhan bagai perli aku. Ketiga, aku sedih tapi dalam masa yang sama aku gembira. Perasaan watak utama bagai aku sendiri yang merasainya. Keempat, wahai Rakzhan, terima kasih kerana menjaga Hasif selama ni.

Aku tunjukkan kepada Hasif wajah Rakzhan yang muncul dalam mimpi aku. Sebelum tunjuk, berkali-kali aku tekankan bahawa Rakzhan dalam mimpi ku tidak sama seperti yang digambarkan dalam novel Hasif. Tindak balas dari Hasif, bagai sudah dijangka. "Siapa ni?" Aku ketawa besar. Tapi seketika kemudian aku terdiam. "Tak guna! Setan mana yang sebenarnya muncul dalam mimpiku itu? Patutlah wajahnya buat aku rasa seram sejuk!"

Aku tamatkan penulisan ini dengan nasihat kepada diri sendiri: "Amna, bangun! Kejar impian mu!"