Sunday, March 20, 2016

Perjalanan Pendar Ratna bahagian 7

Pendar Ratna episod 7 sudah boleh dibaca di sini. Alhamdulillah, dalam kesibukan dan tunggang langgang hidup ku, aku masih mampu menyiapkan episod 7. Di sebalik siapnya episod ini, terdapat kisah-kisah yang tak ramai orang tahu. Hari ini, aku akan bongkarkan kisah-kisah tersebut.

(Sepatutnya sudah lama Pendar Ratna episod 7 update. Tapi aku baru berkesempatan menulis kisah perjalanannya, hari ini. Maaf, kesibukan memburui aku kebelakangan ini. Dan, maaf juga sudah lama tak jenguk blog rakan-rakan. Akan terus kunjung blog mereka sesudah menaip ini)


1. Monyet dan cili
Bagi anda yang sudah membaca episod 7, tentu anda sedar dalam episod ini terselitnya satu kisah rakyat, Sang Monyet dan Sang Kancil bersama cili. Tentu anda semua tahu mengenai kisah rakyat ini bukan?

Aku mendapat idea untuk selitkan kisah ini adalah selepas perbualan dengan pelukis Tamingsari. Entah bagaimana ketika kami bersembang boleh terbuka kisah Monyet dan Kancil ini. Kemudian aku tersedar bahawa pengajaran dalam kisah tersebut bersesuaian dengan episod kali ini, lalu aku masukkannya.


2. Rakan-rakan seperjuangan tarik diri
Ada sesuatu terjadi yang menyebabkan aku pernah berniat untuk tarik diri dari Supreme sebelum siapnya episod 7. Beberapa orang rakan pengkarya ku dari Supreme telah memilih untuk tarik diri. Mereka tarik diri atas sebab-sebab tersendiri. Masing-masing mempunyai sebab berbeza. Namun, dengan pilihan mereka untuk tarik diri, sedikit sebanyak mempengaruhi aku untuk tarik diri juga. Ini kerana, aku juga mempunyai alasan tersendiri.

Jika aku pilih untuk tarik diri dari Supreme, tidak bererti aku tarik diri dari melukis komik. Aku akan terus melukis komik. InsyaAllah. Cuma, apa yang menyebabkan aku terdetik untuk tarik diri, kerana aku juga mempunyai komitmen lain, lagi pula, selepas rakan-rakan sudah tak bersemangat mahu teruskan, semangat aku turut hilang.

Syukur, aku tak buat keputusan terburu-buru. Aku ambil masa pertimbangkan baik buruk dan atur langkah perjalanan ku, malah aku mendapat khidmat nasihat dari salah seorang editor Supreme, aku akhirnya bertekad untuk meneruskan perjuangan di Supreme! Teruskan melukis Pendar Ratna! 

3. Pelukis tambahan
Dalam episod 7, terdapat sedikit scene yang dilukis oleh Sayuti, pelukis komik Forgia. Aku telah meminta bantuannya untuk melukis sedikit kerana aku kejar untuk update juga episod 7, di penghujung bulan Febuari.

Ramai yang dapat mengesan bahagian manakah yang dilukis oleh Sayuti dalam Pendar Ratna episod 7. Apa pendapat para pembaca? Bolehkan jika Pendar Ratna pada masa akan datang terdapat beberapa pelukis untuk membantu? Adakah para pembaca boleh menerima?

4. Perubahan saat akhir
*spoiler alert*
*Jangan baca bahagian ini jika belum membaca Pendar Ratna episod 7*

Pada muka surat terakhir episod 7, jika mengikut skrip asal, sebenarnya ia akan ditamatkan dengan Intan berkata-kata. Namun, pada saat akhir, aku menambah dialog Encik Selamat. Ini kerana, dalam episod 7 aku menekankan tentang 'Mencurah air ke daun keladi'. Seperti yang anda lihat, watak Intan tidak mendengar nasihat. Aku tak mahu tunjukkan pada para pembaca bahawa tidak mendengar nasihat itu adalah sesuatu yang bagus. Aku tak mahu beri contoh tak baik kepada adik-adik di luar sana. Maka aku tamatkan dengan kata-kata dari Encik Selamat: "Kamu akan menyesal kemudian hari dengan kata-kata ini". Menunjukkan apa yang Intan buat bukanlah contoh ikutan yang bagus.

Adikku Tona, kata ianya lebih saspen jika ditamatkan dengan kata-kata dari Intan. Aku pula berpendapat, memberi kesan buruk kepada pembaca, bukanlah sesuatu yang baik. Jadi aku memilih tamatkan dengan Encik Selamat walaupun kesan saspen jadi berkurang dengan tindakan itu.

5. Update serentak! Pendar Ratna dan Forgia.
Pada 29 Febuari 2016, Pendar Ratna update episod 7 serentak dengan Forgia episod 5. Buat pertama kalinya, kami Aretis (gelaran untuk pengkarya Supreme) bekerjasama menghasilkan satu poster gabungan. Maka, inilah poster Pendar Ratna episod 7 dengan Forgia episod 5.



6. Maklum balas luar biasa
Alhamdulillah, syukur. Selepas episod 7 ini, maklum balas yang aku terima dari para pembaca, agak meriah dari kebiasaan. Aku rasa nak menangis terharu. Terima kasih banyak-banyak buat semua pembaca Pendar Ratna. Sayang kamu semua! Teruskan menyokong Pendar Ratna ya?


2 comments:

  1. Ooo.. begitu rupanya cerita di sebalik tabir.

    Agak²nya kenapa rakan supreme ramai menarik diri? Huhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masing2 ada sebab tersendiri. Kena tanya diorang untuk jawapan. Maaf tak boleh beritahu. Huhu...

      Delete