Saturday, December 31, 2016

Ringkasan 2016 Amna Shark



2016 sudahpun sampai ke penghujungnya. Secara keseluruhan, aku agak penat dengan tahun 2016. Terlalu pelbagai perkara menimpa aku. Sedangkan semasa tahun 2015, segalanya berjalan lancar. Sebulan sebelum masuk 2017, Tok aku telah pergi buat selama-lamanya. Dua hari sebelum masuk 2017 pula, iaitu semalam, aku telah terima satu berita yang agak mengejutkan. Tapi aku tak mahu cerita di sini. Maaf, jangan tanya. Itu adalah kisah dipenghujung tahun.

  Lebih kurang pada pertengahan tahun 2016, aku telah kehilangan seorang rakan seperjuangan ku dalam bidang komik. Bukan kehilangan sebab kematian. Kehilangan kerana kami tidak lagi sehaluan. Aku tak mahu sebut namanya. Biar aku taip sebagai 'Encik Hantu'. Encik Hantu dan aku, sama-sama mula memasuki bidang komik pada waktu yang lebih kurang sama. Ketika kami berdua masing-masing belum dikenali, dialah rakan seperjuangan aku. Ketika aku tak yakin dengan lukisan ku, aku tunjuk kepadanya. Ketika komik aku belum keluar untuk tatapan orang awam, dia telah baca terlebih dahulu. Aku juga belajar darinya sikit-sikit dalam mempertingkatkan skill ku. Kami juga saling bertukar idea, saling beri motivasi dan sebagainya. Namun, apakan daya. Ditakdirkan kami tidak lagi mampu menjadi rakan seperjuangan. Kerana apa, aku malas cerita.

Kehilangan rakan seperjuangan, membuatkan menjadi pelukis komik tidak lagi semenarik dulu. Apabila aku ada pencapaian apa-apa dalam bidang komik, aku tiada tempat untuk berkongsi kegembiraan. Aku tak ada tempat nak tunjuk komik ku sebelum aku tunjuk kepada orang awam. Aku tak ada tempat nak tanya pendapat, nak bincang idea. Jangan salah faham, aku tidak rindu pada Encik Hantu tu. Aku cuma rindu suasana memiliki rakan seperjuangan. Namun kejadian ini memberi satu pengajaran kepada ku. Aku sebenarnya berjuang secara solo dalam bidang ini. Tatkala aku melangkah masuk bidang ini, aku tak punya sesiapa yang sama bidang. Rakan seperjuangan hanya pinjaman Allah kepada ku untuk bantu aku memulakan langkah ku. Tuhan tarik semula apabila aku mampu berdiri tanpanya. 

Rupa-rupanya, aku lambat sedar sesuatu yang penting. Sebenarnya, sebelum Tuhan tarik balik rakan seperjuangan ku, Tuhan telahpun terlebih awal beri seorang mentor kepadaku. Beliau adalah Aman Wan. Pada hujung tahun 2015, Aman telah memilihku untuk terlibat dalam satu projek. Projek apa, bukan masanya aku terangkan di sini. Sepanjang tahun ini aku telah tumpukan kepada projek tersebut. Kenapa aku lambat nampak, beliau adalah mentor yang Tuhan hantar jawapan kepada doa aku selama ni. Aku masuk bidang komik selepas Prof buka kan pintu. Namun, langkah ku selepas itu, adalah tanpa bimbingan. Prof biarkan aku belajar sendiri. Aku selalu minta pada Tuhan agar hantar kan seseorang yang boleh bimbing aku dalam bidang ini. Bila aku cuba untuk belajar dari Aman, minta nasihat aman dan sebagainya, sedarlah aku, mentor lagi penting dari rakan seperjuangan. Kerana Aman, aku kenal Danial Haikal. Seorang pelukis komik yang sudah berada pada tahap jauh lagi tinggi dari aku semestinya. Alhamdulillah, dengan Aman dan Danial, aku belajar macam-macam. Tidak semestinya belajar secara berdepan. (Jadi mereka mungkin tak tahu bahawa aku sedang belajar dari mereka) Belajar dengan melihat cara mereka. Maka dengan ini, aku sudah sembuh sepenuhnya dari luka kehilangan rakan seperjuangan. Cuma yang buat aku sedikit sakit hati, orang sekeliling masih lagi kaitkan Encik Hantu dengan aku. Apa-apa orang mahu tahu mengenai Encik Hantu, mereka akan tanya ku. Oh, tolonglah. Aku sudah tak tahu apa-apa mengenai Encik Hantu. Berhenti tanya aku.

Seteruk-teruk tahun 2016 ku, masih banyak perkara yang membuatkan aku patut bersyukur. Di sini ingin ku catitkan segala pencapaian 2016 ku untuk tujuan rekod sejarah diri sendiri.


Pencapaian dan pengalaman Amna Shark sepanjang 2016.

Amna Shark di Johor.

Pada awal tahun 2016, aku telah mendapat panggilan telefon menyatakan bahawa aku telah lulus ujibakat untuk pelakon sampingan sesebuah filem. Oh ya, ada kisah sebenarnya disebalik ujibakat tersebut. Sebenarnya, aku telah hadir sebuah ujibakat yang aku sangkakan, ujibakat teater. Aku sudah lama tak terlibat dalam teater. Jadi rindu hendak berteater semula. Sampai sahaja ke tempat ujibakat, terkejut aku mendapat tahu bahawa ianya ujibakat pelakon filem. Weh! Aku mana ada pengalaman berlakon selain dari teater. Yang lagi kelakarnya, aku datang ujibakat dengan pakaian serba hitam. Ini kerana, krew/pelakon teater punya dresscode adalah pakaian hitam. Sedangkan orang lain yang hadir ujibakat tersebut, semua lawa-lawa make up dan berpakaian umpama artist. Terlajak sudah sampai ke tempat ujibakat, aku fikir baik aku teruskan sahaja. Selesai sesi ambil gambar dan lakonan, tuan yang interview tu cakap begini: "Muka awak cantik (ni mungkin ayat jaga hati sebelum dia teruskan ayat), tapi, penampilan awak tak kreatif. Awak masuk je bilik ni, tak rasa pun ada aura dari awak. Bila awak start berlakon, baru saya nampak aura awak" Aku meninggalkan tempat ujibakat dengan gelakkan diri sendiri. Kenapa aku tak siasat dahulu itu ujibakat filem? Namun, panggilan telefon yang menyatakan menerima aku itu, telah membuatkan aku gembira. Bukan kerana gembira diterima berlakon filem, tapi gembira kerana sekurang-kurangnya aku tahu, bakat lakonan aku belum karat lagi walau dah lama tak berlakon. Tapi akhirnya, aku tolak tawaran tersebut kerana tarikhnya adalah tarikh aku bercuti dengan keluarga di Johor.

Rupa Dak Nakal, awal-awal datang ke sini. Sekarang dah sebesar anak singa saiz dia.


 Keluarga kami menerima seekor kucing yang telah kucar kacirkan hidup aku dalam tahun ini. Dia adalah, tak lain tak bukan, Kidi atau nama manja dariku, Dak Nakal. Kehadiran dia memang kacau jadual ku. Dia boleh ajak aku main kejar-kejar tatkala aku sibuk menyiapkan komik! Aku pula, entah bagaimana boleh terpengaruh, layan dia main kejar-kejar. Dia kejar aku, aku kejar dia. Gilir-gilir saling kejar. Oh, rosak jadual aku.



Malam puisi warisan

Malam Puisi Warisan, berpeluang bertemu Tuan Rolan Madun

Aku menghadiri Malam Puisi Warisan kerana menemani Umi ku. Sejak dulu lagi, aktiviti-aktiviti baca puisi, selalu Umi membawa aku untuk menemaninya. Walau aku tak pandai berpuisi langsung, namun aku sudah jadi biasa untuk menghadiri aktiviti sebegini. Tapi pada malam tersebut, hati ku berbunga-bunga kerana berpeluang bertemu Tuan Roslan madun. Selama ini sekadar mainkan lagu Lemak Manis beliau dalam playlist ku.

Menjadi emcee

Aku berpeluang menjadi emcee di majlis reunion Umi, Abah dan rakan-rakan Art & Design mereka dahulu. Sudah tentu aku dapat peluang ini kerana Abah memberikan namaku. Bersama ku yang turut menjadi emcee pada malam itu, dua orang anak-anak muda yang merupakan anak kepada kawan-kawan Umi dan Abah. (salah seorang dari mereka adalah anak kepada bekas lecturer aku) Walaupun aku dapat tugas ini kerana Abah, namun aku tulis juga peristiwa ini di sini kerana selaku bekas pelakon teater, menjadi satu kebanggaan dapat kembali berdiri di atas pentas.

Amna Shark di Mukah, Sarawak

Bertemu Yoketouchi di Mukah

Aku menjejakkan kaki ke Mukah, Sarawak, buat kali kedua. Kali pertama adalah pada tahun 2014. Ini kerana kakak ku bekerja di sana. Jadi mudah bagiku ke sana kerana sudah mempunyai tempat tinggal. Malah makan ditanggung. Kali ini, apabila ke Mukah, aku berpeluang bertemu dengan Yoketouchi. Beliau merupakan antara pelukis komik yang awal aku kenal. Beliau juga salah seorang dari ahli Aretis United. Sudah lama kami berkenalan, sebelum aku belum lagi menjadi pelukis komik. Oleh itu, dapat bertemu dengannya, merupakan sesuatu yang sangat aku hargai.

Cover untuk sebuah projek

Dalam tahun ini, aku berjaya siapkan sesuatu untuk satu projek yang belum boleh ku nyatakan. Apabila ianya keluar untuk orang awam, akan aku maklumkan. InsyaAllah.

bertemu Nisrina dan Nazr

Pada Pesta Buku Antarabangsa 2016, aku bertemu dengan Nisrina dan Nazr. Nisrina pada ketika itu, belum lagi menjadi sebahagian dari Aretis United. Jadi apabila beliau menjadi Aretis United, satu kebanggaan mengenangkan aku telah bertemunya dahulu terlebih awal. Narz pula, adalah seorang pelukis komik yang telah lama aku kenal secara online. Selalu bersembang dan pernah bekerjasama ketika kami cuba buat promosi komik kami satu ketika dahulu.

Cari Ganti


Mekar Melati

Laman web Supreme telah bertukar nama menjadi Sucomi. Pada Rumble Mei Sucomi, aku telah menghantar dua karya, Cari Ganti dan Mekar Melati. Bezanya, pada kali ini, kedua-dua karya tersebut, aku hanya menjadi penulis dan mencari pelukis lain untuk lukiskan karya ku. Ini adalah eksperimen ku untuk menguji kebolehan reka cerita ku. Alhamdulillah, keputusan yang diterima untuk kedua-duanya adalah positif! Cari Ganti terpilih untuk disirikan di Sucomi.


Booth Imaginare Art di Visual Art Expo 2016

Pelukis dan penulis Cari Ganti

Alhamdulillah, kerana Kak Nabilah (N.A.N), aku berpeluang menyertai Visual Art Expo 2016. Kemudian, di sana, aku berpeluang bertemu dengan Oz Ishak, pelukis yang bekerjasama denganku untuk melukis komik Cari Ganti.

Aretis United bekerjasama untuk projek Euro 2016.

Sempena EURO 2016, Aretis United bekerjasama menghasilkan jadual perlawanan EURO. Kerana projek ini, aku yang tidak mengikuti EURO, boleh jatuh cinta terhadap jersi-jersi.

Aretis United dan warga Sucomi beraya.

Amna Shark kembali menjadi storyboard artist

Pada pertengahan tahun 2016, aku telah mengambil satu langkah yang sangat besar bagi ku. Aku kembali menjadi storyboard artist sepenuh masa setelah selama setahun setengah aku menjadi pelukis komik sepenuh masa. Selama menjadi pelukis komik, aku pernah mengambil projek storyboard secara freelance. Namun untuk aku menjadi sepenuh masa ini, adalah keputusan yang berat bagi ku. Ini kerana, aku lebih sayangkan pekerjaan pelukis komik. Atas rasa rindu storyboard dan takut skill storyboard aku karat, aku gagahkan hati untuk kembali ke industri. Akhir sekali aku berada dalam industri ni adalah pada 2014. Menyedari bahawa kerja sendiri lebih banyak kebaikan dari makan gaji, itu yang menjadikan aku kerja sendiri dalam tempoh yang agak lama. Sungguh aku amat berbelah bahagi untuk buat keputusan sebesar ini. Namun keputusan dah pun dibuat. Selepas aku menjadi storyboard artist semula, ramai yang datang mengucapkan tahniah. Sejujurnya, aku sedikit terluka atas ucapan tahniah. Ini kerana, aku rasakan seperti aku gagal sebagai pelukis komik sehingga terpaksa menjadi storyboard artist. Dan orang ramai ucap tahniah atas kegagalan ku? Apa-apa pun, itu kelukaan sementara. Alhamdulillah, menjadi storyboard artist untuk company ini jauh lebih baik dari company yang lepas. Aku amat bersyukur untuk itu.

Amna Shark berumur 26.

Kakak Taska, semuah komik seram komedi oleh Amna Shark

Aku menyertai pertandingan komik seram anjuran matkomik, dengan mempertaruhkan komik Kakak Taska. Pertama kali aku menyertai pertandingan komik serius dengan stail simple atau 'tak serius' ini. Sebahagian dari eksperimen ku. Tak sangka pula rezeki berpihak kepada ku, tersenarai dalam top10.

Amna Shark di Jepun

Alhamdulillah, rezeki. Aku berpeluang menjejakkan kaki ke Jepun. Berharap untuk ke Jepun lagi pada masa akan datang jika ada rezeki lebih. Doakan ya.

Amna Shark di pelancaran buku Jenama X

Aku berpeluang menghadiri pelancaran buku Jenama X. Dapat bertemu kartunis kartunis terkemuka tanah air. Paling aku hargai, aku sempat bertemu Prof, dan memberi buku Buasir Otak the Komik 2 dan 3. Janjiku terhadap prof terasa sudah separuh dilaksanakan. Ini kerana janjiku, mahu memberikan beliau, komik solo ku. Yang ku beri ini komik kolaborasi. Belum ada lagi komik solo. Akan datang. InsyaAllah.

Amna Shark di Kuala Lumpur Literary Festival. Pertama kali menghadiri KLLF

Berjumpa sebahagian dari rakan-rakan BOTK

BOTK awakening

Aku berpeluang untuk menjadi salah seorang dari 56 orang pengkarya dalam Buasir Otak the Komik (awakening). Gembiranya!!! 

Berkumpul dengan rakan-rakan pelukis komik di Comic Fiesta

Kuasa Pena

Hero Hujung Minggu

Pada hujung tahun 2016, seperti tahun lepas, aku menyertai Cabaran Komik Online Malaysia anjuran matkomik. Aku menghantar dua karya. Kuasa Pena dan Hero Hujung Minggu. Kuasa Pena adalah kerjasama dengan ahli-ahli Aretis United. Manakala, Hero Hujung Minggu adalah kerjasama aku dan Pyromania. Gandingan yang sama untuk CKOM tahun lepas.



Sekian sahaja coretan untuk 2016 ku. Alhamdulillah untuk tahun ini. Kini bersedia untuk melangkah ke 2017. Bismillahirahmanirahim...

Wednesday, December 28, 2016

10 komik pilihan Amna Shark dalam CKOM 2016


 Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM) 2016 anjuran laman web matkomik, telah tiba ke penghujungnya. Hanya menanti keputusan diumumkan sahaja. Seramai 145 komik masuk bertanding dengan tema Hero (silent comic). Banyak komik-komik hebat. Ramai kawan-kawan aku sendiri yang menyertai ini. Oleh itu, aku tidak rasa seperti dalam pertandingan. Rasa seperti satu pesta pula. Rasa satu keseronokan menyertai beramai-ramai.



 Aku juga menyertai pertandingan ini. Aku telah menghantar dua komik. Komik Kuasa Pena, adalah komik kerjasama dengan rakan-rakan dari pasukan Aretis United. Komik Hero Hujung Minggu pula adalah kerjasama dengan penulis, Pyromania. Pada CKOM tahun lepas, aku telah bekerjasama dengan penulis yang sama juga, untuk komik Gema Pemikiran. Ya, lagi sekali nampaknya kami bekerjasama pada tahun ini. Mengapa aku pilih penulis yang sama untuk bekerjasama lagi adalah kerana, aku rasakan gandingan kami berdua sebagai penulis dan pelukis adalah satu gandingan yang serasi. Aku suka cerita-cerita yang ditulis oleh Pyromania. Melihat dari hasil gandingan kami untuk kedua-dua komik Hero Hujung Minggu dan Gema Pemikiran, hasilnya adalah sesuatu yang baik. Respon orang ramai juga positif. Oleh itu, jika Pyromania terbaca ini, aku ingin sampaikan rasa terima kasih, kerana sudi bekerjasama dengan ku. Untuk tahun hadapan, sila pertimbangkan lagi untuk mengambilku sebagai pelukis. Terima kasih.

Tanpa membuang masa, aku ingin senaraikan 10 karya pilihan ku dari CKOM 2016. Biar ku maklum awal-awal, ini adalah pilihan berdasarkan citarasa peribadi ku. Bukan citarasa orang awam mahupun juri. Bukan juga dipilih berdasarkan siapa kawan aku. Karya-karya ini 100% mengikut citarasa diri sendiri. Untuk memilih 10 sahaja, amat susah bagiku. Ini kerana terlalu banyak penyertaan yang menarik! Terlalu banyak! Namun, akhirnya, aku pilih juga 10. (aku tidak masukkan komik diri sendiri)

10 komik pilihan Amna Shark (tidak mengikut turutan):


*klik pada tajuk komik untuk membaca komik tersebut*


Si Hati Kayu oleh Hyrohiku

Ini adalah penyertaan pertama pada tahun ini. Tiada apa yang dapat aku katakan mengenai lukisan pengkarya ini. Maksud aku, dari segi garisan, proportion, panel, acting, angle, nampaknya si pengkarya sudah pun mahir kesemuanya. Jika mahu diulas mengenai ceritanya pula, ianya menyentuh hati. Cerita ini menunjukkan walau bagaimana teruk seseorang itu dipulau oleh masyarakat, ia tidak menghalangnya untuk terus berlaku baik.

Siapa yang akan selamatkan aku? oleh Ploless 

Lukisan pengkarya kelihatan sungguh fantasi. Rasa bagai sedang melihat mimpi. Ini bersesuaian dengan cerita yang ingin disampaikannya yang menunjukkan satu mimpi, bayangan atau mungkin perumpamaan kepada realiti watak utama. Namun, apa yang aku suka adalah, penggunaan watak jerung bagi menggambarkan watak si ibu. Ia membuatkan aku boleh bayangkan bagaimana perwatakan si ibu walau watak tersebut hanya muncul pada akhir cerita. Perasaan sayang itu, sampai ke hati ku. Tahniah pengkarya.


Sorry not sorry oleh Shahappy

Lukisan Shahappy, memang tidak dinafikan ianya cantik, dan kemas. Cerita ini, menurut pemahaman aku adalah: orang yang ada kekurangan (buta) yang 'nampak' keindahan pada dunia ini. Mesej yang menusuk hati.

Wira Kecil oleh Pami Akram

Sekali pandang sahaja pada lukisan pengkarya ini, hati aku sudah berkata, "Cantiknya!!!!" Design karakter, kompisisi panel, acting, nampaknya pengkarya ini telah mahir kesemuanya. Cerita ini pula, sekali baca aku tidak faham. Namun setelah diteliti semula, ini adalah pemahaman aku untuk karya ini: Watak jahat adalah kegelapan, atau apa-apa imaginasi ketakutan budak itu. Hero dalam cerita ini adalah budak itu sendiri apabila dia berjaya melawan ketakutannya. Menarik.


Kau serius? oleh Prince of Noob 

Lukisan pengkarya ini bersahaja, tidak terlalu mencuba. Namun, aku anggap ianya lukisan yang berjaya kerana mesej dan mood tetap sampai ke hati ku. Cerita ini, bagiku adalah sangat unik. Ini kerana, sepanjang perjalanan cerita, pembaca bagaikan tertipu. Hero itu sebenarnya tiada. Satu kritikan pedas untuk dunia realiti kita. Tahniah kepada pengkarya.


Terima kasih oleh Harihtaroon

Lukisan pengkarya boleh dikatakan sudah berada pada tahap professional. Penyusunan panel dan permainan angel dimainkan dengan baik sekali. Ceritanya pula, cukup menyentuh perasaan dengan plot twist yang tidak dijangka.

Shhh! Jangan Tegur oleh Curly Fries & French Fries 

Lukisan pengkarya ini simple dan mudah difahami. Namun apa yang aku suka mengenai karya ini adalah ceritanya. Disampaikan dalam bentuk metafora mengenai satu situasi yang dialami masyarakat kita hari ini.

yang tiada oleh Pyromania

Boleh dikatakan, karya ini yang paling mencuri perhatian ku dalam CKOM kali ini. Lukisannya simple dan mudah difahami. Ceritanya, walaupun menunjukkan realiti tidak seindah mimpi, namun masih ada satu persamaan iaitu, ayah adalah hero!

Hadir lagi oleh Comic Goals

Aku benar-benar suka pada stail lukisan pengkarya ini. Dari segi jalan ceritanya pula, masih ada beberapa bahagian yang kurang jelas seperti, apa makhluk itu dan motifnya? Namun, aku suka pada sifat hero yang ditunjukkan melalui watak kucing hitam itu. Walau perempuan itu sentiasa salah faham terhadap kucing itu, kucing itu tetap melindunginya. Ini hanya mengikut pemahaman aku. Aku tak pasti jika pengkarya membawa maksud lain.

Cerita untuk masa depan oleh Prince of Noob & Deaday

Satu lagi karya yang bermain dengan perasaan pembaca. Permulaan cerita, pembaca di bawa untuk merasai keperitan dan kesusahan hero zaman dahulu berjuang untuk tanah air. Selepas menunjukkan transition zaman, pembaca di bawa ke zaman kini di mana anak muda amat mengecewakan. Apa yang aku dapat melalui cerita ini adalah, perjuangan generasi terdahulu adalah untuk apa?


Komik-komik yang turut menjadi pilihan ku:
Wira kecil berjiwa besar oleh Yoketouchi
Hero tak terjangka oleh MFB
Ayam dan Kancil oleh Bali
Tripod oleh Archylea & Hanza
Demi Cinta Ini oleh Al-Hafiz
Pelindung Hutan oleh Kanza
Nampak Adik oleh Aika
Memori oleh Nazril Afiq

Selesai juga menulis 10 pilihan ku. Terima kasih bagi yang sudi baca. Izinkan aku tamatkan penulisan ini dengan soalan, apa pendapat anda tentang komik Kuasa Pena dan Hero Hujung minggu? Hehe..

Monday, December 26, 2016

Selangkah ke depan


Terlalu awal untuk aku gembira, namun perasaan gembira ini tak dapat dibendung lagi. Ku coretkan di sini walau aku tahu dalamnya lautan belum ku kenal, tinggi rendahnya langit belum ku ukur.

Sudah ku maklumkan pada para pembaca blog ini, bahawa selain pelukis komik, aku juga merupakan seorang storyboard artist di sebuah company animasi tempatan.

Setelah beberapa tahun menjadi storyboard artist, akhirnya aku dipilih menjadi storyboard artist untuk sebuah movie.

 Ya Tuhan.  Selama ini, untuk terlibat dalam pembikinan movie, hanyalah angan-angan kosong ku. Selama ini, aku hanya melihat orang lain yang lebih hebat, terlibat dengan pembikinan movie. Sedang aku yang taraf biasa-biasa ini hanya layak untuk membuat animasi bersiri sahaja. Untuk pengetahuan anda, storyboard untuk movie memerlukan lebih ketelitian berbanding storyboard untuk siri. Lihat saja contoh animasi bersiri dengan movie yang dapat anda tonton selama ini. Movie, kualitinya lebih tinggi berbanding siri bukan? Namun, selama ini ku pendam sahaja angan-angan untuk terlibat dengan movie kerana aku sedar, untuk dapat memasuki bidang animasi walau ku tiada ilmu animasi, ini sahaja sudah cukup satu keajaiban. Tidak ku meminta lebih-lebih kepada Tuhan.

Satu petang sebelum pulang kerja, tuan direktor telah memberi arahan: "I want to put you in____ (tajuk movie)". Aku terdiam seketika dan cuma mampu membalas dengan soalan "its a movie.. Right?" "yeah" jawab beliau. Aku membulatkan mataku dan memberi respon pendek: "wow.."

Selepas itu, kegembiraan aku memang tak dapat disorokkan lagi. Perasaan ini. Apakah perasaan ini?  Perasaan ini sama seperti ketika aku terlibat dengan teater satu ketika dahulu. Setelah lama menjadi pelakon tambahan atau watak latar, apabila akhirnya aku dipilih menjadi watak utama, perasaan itu!! Perasaan itu sama seperti perasaan kali ini! Terasa aku telah melangkah setapak ke hadapan!

Aku tahu, aku gembira terlalu awal. Aku belum lagi mulakan tugasan tersebut. Aku belum tahu lagi apa dugaan yang bakal ku tempuhi. Namun, Ya Allah... Biar saja aku catitkan perasaan gembira ini supaya satu hari nanti apabila aku tidak bersyukur dengan apa yang aku miliki, kenanglah ini. Tuhan yang maha kaya telah limpahkan kurnianya sebanyak ini kepadaku.

Ada kalanya, aku hairan juga. Mengapa beliau memilih ku? Apa kebolehan aku sudah mencapai tahap yang diingini kah? Apa yang beliau nampak dalam diri ku? Mungkin,  ada permata dalam diri ku. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Beliau adalah jauhari, maka beliau dapat lihat manikam dalam diri ku. Ah, Amna.. Kau sedang perasan atau kau sedang beri motivasi kepada diri kau? Aku harap ia dikira motivasi. "Selamat maju jaya Amna."  Ucap Amna kepada dirinya sendiri.


Thursday, December 15, 2016

Buasir Otak: The Komik (Awakening)

(Post ini sepatutnya disiarkan bulan lepas. Namun, atas beberapa faktor yang melanda diriku, baru kini aku mampu menyiarkannya.)


Pada 20 November 2016, buku Buasir Otak: The Komik (Awakening) telah berjaya sampai ke tangan ku. Buku setebal 296 muka surat itu, mengandungi hanya 5 muka surat karya ku di dalamnya. Namun aku tetap gembira dengan penghasilan buku ini. Gembira dapat menjadi sebahagian dari 56 orang pengkarya yang terlibat. Ya, 56 pengkarya! Ramai bukan?

Pada hari penyerahan buku itu kepadaku, turut hadir beberapa orang pengkarya yang kebanyakannya sudah lama ku kenal dalam alam maya, namun pertama kali bersua muka. Oleh itu, aku coretkan sedikit pengalaman ku bertemu mereka, ke dalam bentuk komik.

Mula-mula tiba di lokasi, aku terpinga-pinga. Aku tak kenal wajah sesiapa. Tiba-tiba hadir seorang perempuan menegurku. Eh, siapa pula ini? Sekali, apabila dia memperkenalkan diri, aku teruja yang amat. Lee-kun rupanya! Selama ini aku bayangkan, Lee-kun seorang perempuan yang kacak. (berdasarkan blog beliau) Rupanya seorang perempuan cantik! Turut berada di situ adalah Prince of Noob, Blee, Kanza, Nazirul, Deaday, Tongkat Jibril, Faye, cEro dan Aujinz. Petang itu pada hari yang sama, aku bertuah sempat bertemu Syuez.

Izinkan aku ulang suara, Aujinz hadir!!! Ini bagai mimpi. Setelah sekian lama mengikuti blog beliau, sudah sekian lama pasang angan-angan kosong untuk berjumpa beliau, akhirnya hari ini menjadi kenyataan. Tersenyum sampai ke telinga aku dibuatnya.

Alhamdulillah. Aku gembira dengan kejayaan menghasilkan buku ini, juga gembira dapat berjumpa mereka semua. Teruskan menyokong kami agar kami dapat terbitkan lagi buku pada masa akan datang.


Setiap pengkarya yang hadir, melukis di atas sketchbook ku.




Berminat untuk memiliki buku ini?
Maklumat buku:
- Harga buku BO:TK (AWAKENING): RM25 seunit tidak termasuk kos penghantaran
- Caj penghantaran PosLaju: RM8 (Semenanjung) | RM12 (Sabah dan Sarawak)
- Jumlah mukasurat: 296 mukasurat.
Cara-cara pembelian:
- PM page Buasir Otak: The Komik atau FB admin Putra Nubhan ; atau
- Hantar ke alamat email princeofnoob[at]gmail[dot]com; atau
- Whatsapp/SMS agen kami SangKancil: 013-9313541


Oh ya, aku ada menghasilkan animasi pendek khas sempena penghasilan buku ini. Boleh lihat di sini.

Thursday, December 8, 2016

Coretan Seorang Cucu



*amaran! Post ini agak panjang. Kalau sedang sibuk, tak perlu baca. Sebab tak ada isi yang penting. Hanya luahan hati aku sahaja*



Pagi itu, aku dikejutkan oleh panggilan telefon dari Umi. Hati aku terus debar-debar memikirkan kemungkinan buruk. Untuk apa Umi telefon pagi-pagi begini?  Semenjak kebelakangan ini, bunyi notification dari group whatsapp keluarga besar ku, juga mampu membuatkan aku debar-debar. Ini kerana, Tok sedang tenat di hospital. Sudah ku melawat Tok di hospital. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku terus menemaninya di sana. Namun atas faktor tangungjawab terhadap kerja, aku telah kembali ke negeri tempat ku mencari rezeki. Baru sehari aku kerja setelah pulang dari melawat Tok. Boleh dikatakan, aku tak sedap hati sepanjang kerja. Tak boleh fokus. Pagi ini pula, sepatutnya hari kedua aku bekerja setelah kembali ke sini. Namun, panggilan telefon dari Umi telah mengubah segalanya. "Amna, Tok dah tak ada."

Seumur hidup aku, inilah kali pertama aku memulakan hari dengan perasaan kacau bilau yang amat dasyat. Ketika itu pemikiran aku luar dari kewarasan. Patutlah malam sebelumnya aku alami kegelisahan yang melampau. Untuk pengetahuan, post blog aku yang sebelum ini, ditulis malam sebelum aku menerima berita ini. Post tersebut boleh menggambarkan betapa hati aku sudah tak sedap pada malam sebelumnya.  Aku sudah lupa untuk ke kerja. Aku google internet mencari tiket flight atau ETS. Namun hampa. Cuti sekolah, semuanya telah habis. Aku bertanya ke sana ke mari semua kawan yang aku terlintas untuk tanya: "bagaimana aku mahu pulang ke Kedah dengan segera tanpa flight atau ETS?" Kedua Umi dan Abah ku tak mampu  untuk mengambil aku kerana mereka harus ke sana segera. Terdetik mahu memandu saja ke sana sendiri. Namun perlu dapatkan kereta sewa terlebih dahulu. Nasib baik aku terlintas untuk bertanya dalam group Whatsapp keluarga besar ku. Aku akhirnya pulang ke Kedah dengan menumpang kereta sepupu ku.

*****

Dipendekkan cerita, petang itu aku tiba di Kedah, betul-betul sewaktu Tok dibawa ke tapak perkuburan. Suasana pada petang itu, adalah suasana yang aku tak mungkin lupa sampai bila-bila. Aku melihat sendiri Abah aku, pakcik-pakcik aku, dan sepupu-sepupu lelaki ku menguruskan pengebumian. Ianya suasana yang aku tak percaya sedang terjadi. Betul ke ni? Aku bukan mimpi kan? Saat aku menaip post ini juga, sebahagian dari hati aku tak percaya peristiwa tersebut benar-benar terjadi. Aku melihat muka sepupu-sepupu ku setiap orang. Riak wajah mereka, tak kelihatan apa-apa, namun aku dapat rasakan, perasaan mereka semua seperti aku. Mereka cuma lebih matang untuk tidak tunjukkan pada wajah. Pandangan aku semakin kabur kerana air mata bergenang. Tuhan saja tahu betapa aku tahan untuk tidak mengalirkan air mata di situ. Kalau mereka yang lain boleh sembunyikan tangisan, kenapa aku tak boleh kan?

*****

Malam itu, rumah Tok dipenuhi tetamu. Aku duduk bersama sepupu dan anak-anak sepupu yang tuanya sebaya adik aku. Amal, salah seorang anak sepupu ku menyebut:

"Sayangnya. Kita dah hilang keluarga yang paling atas".

Amal merupakan cicit Tok. Itu yang dia maksudkan dengan keluarga paling atas. Aku kemudiannya menjawab:

"Perasaan Amal, mungkin tak sama macam perasaan kami. Amal hilang moyang. Tapi kami, dia Tok kami."

Adakah pandangan aku salah? Untuk kepastian, aku memandang sepupuku, Dila, untuk kepastian.

"Kan Dila?"

Dengan wajah sayu, Dila terangkan kepada Amal:

"Kitorang membesar masa Tok masih sihat. Kitorang main lari-lari kat atas, lepas tu Tok naik, marah."

Aku terdiam seketika sambil memandang Dila. Tak sangka Dila masih ingat. Ya, memori itu juga berharga bagiku. Kami lari-lari di tingkat atas. Ruang itu besar untuk main lari-lari. Namun, oleh kerana rumah Tok rumah kayu, bunyi bising hentakkan kaki kami mengganggu ruang tingkat bawah. Memang kena marah lah.

Perbualan berlanjutan. Pelbagai topik kami sembang. Sehinggalah tiba-tiba, Aisyah, anak sepupuku yang sangat kecil, comel, dengan suara nyaring, bertanya: "Mak Amna, bila Mak Amna nak kahwin?" Soalan yang cukup sensitif bagi orang lain sebaya aku, tapi tidak sensitif bagi aku kerana aku sendiri yang pilih kehidupan solo begini. Namun, pada malam itu, soalan tersebut membawa sedikit sayu ke hati ku. Sebab apa? Sebab aku selalu berangan untuk tunjukkan anak aku nanti kepada Tok. Cemburu lihat sepupu-sepupuku yang sudah ada anak, sering bawa anak mereka jumpa Tok. Nampaknya impian itu cuma tinggal angan-angan. Salah aku juga kerana sering tangguhkan isu perkahwinan. Aku lalai dalam keseronokkan kehidupan ku yang bebas tanpa kongkongan, tanpa keterikatan pada komitmen. Untuk tutup kesedihan, aku tukarkan perbualan tersebut kepada lawak:

"Mak Amna ada ramai sangat peminat. Sampai Mak Amna tak tahu nak pilih yang mana"

Anak-anak sepupu ku yang berada di situ semua ketawa. Aku berjaya.

*****

Hari-hari berikutnya, aku masih duduk di Kedah, di rumah Tok aku. Rumah Tok, tanpa Tok, perasaannya berbeza sekali. Aku belek-belek telefon pintar ku, sekadar membuang masa. Yalah, tidak bekerja, hendak buat apa lagi kan? Namun, aku langsung tidak membalas message WhatsApp sesiapa. Laman facebook juga, aku hanya skroll tanpa respon pada apa-apa posting kawan-kawan. Tapi, kenapa aku bersikap begitu? Entah. Aku cuma bagai hilang minat terhadap dunia secara tiba-tiba.

Perasaan hilang minat terhadap dunia ni, pernah sekali terjadi beberapa tahun lepas semasa aku menjalani pembedahan tulang belakang. Ketika itu aku sangka aku akan mati. Walau selepas sembuh, minat terhadap dunia tu memang tak ada. Aku hidup dengan menikmati segala keindahan dunia, namun hati kata "Ah.. duniawi." Orang-orang yang rapat dengan ku mungkin sedar perubahan tersebut. Tak tahu la ke tak ada siapa pun yang sedar. Masa terus berlalu. Masa memang mengubah segalanya, termasuk diriku. Aku kembali menjadi manusia yang lalai. Hidup perjuangkan karierku dalam komik, sehinggalah tiba hari Tok meninggalkan aku. Aku tak sangka. Beberapa tahun lepas aku sangka aku akan mati. Namun aku masih hidup sehingga ke hari ini. Tak sangka, Tok pula yang pergi dulu. Benarlah bak kata pepatah. Pantang maut sebelum ajal. Oleh kerana belum ajalku, aku masih di sini. Perasaan tak berminat pada dunia, muncul kembali dalam diri ku. Perasaan ini, ianya boleh jadi positif jika aku tak berminat pada dunia dan berusaha menuju kejayaan akhirat. Masalahnya, aku bukan begitu. Aku tak berminat pada dunia, namun tidak persiapkan diri untuk kejayaan akhirat. Macam mana tu? Ya Allah, tolong hantarkan seseorang untuk bimbing aku.

*****

Belek-belek Facebook, tiba-tiba muncul memori setahun lepas dari Facebook. Facebook ada kelebihan, munculkan kembali post-post kita yang lama sebagai kenangan. Namun, post kali ini benar-benar buat hati aku rasa ditarik-tarik, dikoyak-koyak. Ini kerana post dari aku setahun yang lepas berbunyi begini: "Di Kedah, sedang melawat Tok" Ya Allah.. Perasaan ini bagai sedang berjumpa dengan aku dari masa setahun yang lalu. Jika aku setahun yang lalu itu tahu bahawa setahun kemudian, Tok bakal pergi, apa yang aku ketika itu rasa? Perit sekali rasa ni. Aku kini di Kedah. Seperti setahun yang lepas. Tapi dengan satu perbezaan. Tiada Tok.

*****

Aku memasuki dapur rumah Tok. Bukan kerana lapar. Tapi kerana tak ada benda hendak dibuat. Sekadar jalan-jalan. Di dapur, kelihatan Mak Su ku sedang berbual dengan saudara-saudara ku yang lain. Melihat aku di situ, Mak Su terus bertanya: "Amna ada dak apa-apa nasihat yang Tok bagi kat Amna? Mak Su nak kumpulkan buat penulisan" Nasihat? Yang Tok beri kepada ku? Tiba-tiba memori ku kembali ke masa entah berapa puluh tahun dahulu, ketika aku masih di sekolah rendah. Ada satu ketika dahulu, aku berpuasa di Kedah. Sewaktu Sahur, Tok berkata kepada kami semua: "Nak makan apa, makan. Nanti tringat!" Perkataan 'tringat' itu kedengaran Kedah yang pekat. Selepas itu, ayat 'Nanti tringat', menjadi ayat kegemaran aku dan Diba, adikku. Setiap kali kami berbelah bahagi tentang keinginan hendak makan apa-apa, kami akan guna ayat ni. "Jom lah beli ______ (masukkan apa-apa makanan) tu, nanti tringat" Flashback berakhir. Aku sedang memandang wajah Mak Su yang menantikan jawapan daripada ku mengenai soalan tadi. Aku tidak menjawab, sebaliknya, cuma senyum. Tak akan lah dalam banyak-banyak nasihat Tok, cuma nasihat soal makanan sahaja yang aku ingat? Apabila Mak Su mula bersembang dengan saudara-saudara lain, aku berlalu pergi meninggalkan soalan Mak Su yang akhirnya aku tak jawab. Nasihat "Nanti tringat", tetap akan menjadi nasihat yang akan ku ingat sampai bila-bila.

*****

Pada hari Jumaat, aku bersedia untuk bertolak pulang ke negeri aku. Aku masih ada banyak tanggungjawab di sana untuk selesaikan. Kerja kepada company, juga projek-projek komik ku yang terhenti seketika. Dalam pada hilang minat terhadap dunia, aku masih faham bahawa tanggungjawab adalah sesuatu yang aku tak boleh lepas tangan.

Sebelum bertolak, pada pagi itu, kelihatan dua orang cicit Tok sedang bermain badminton di laman rumah Tok. "Mak Amna nak join!" Aku menjadi makcik yang mengacau kanak-kanak. Selepas bergilir-gilir tukar pemain badminton, aku berhenti. Sambil memerhatikan mereka teruskan bermain, aku berbisik dalam hati: "Inilah laman rumah Tok yang menjadi tempat permainan kami generasi cucu satu ketika dahulu. Nampaknya sekarang, giliran cicit pula mengambil alih tempat ini"

Ketika bertolak meninggalkan rumah Tok, rasa sayu sangat hati ini. Selepas ini jika pulang ke Kedah, ianya tak akan sama lagi. Ya Allah, terima kasih kerana menjadikan aku, salah seorang daripada 46 cucu Tok. Aku bahagia berada dalam keluarga ini. Mungkin, ini sudah masanya aku maju ke depan. Aku pula mendapat anak, dan menjadikan Umi dan Abah ku mendapat pangkat datuk dan nenek. Ini kelakar. Untuk seorang 'Amna' yang sentiasa lengah-lengahkan isu kahwin, keluarga dan komitmen, nampaknya ini memang sesuatu yang aneh bila 'dia' taip begini. Ya, aku bukan dalam keadaan 'Amna' yang biasa sekarang. Nanti esok-esok, mungkin aku berubah fikiran kembali dan berminat pada kebebasan yang aku sentiasa puja-puja sebelum ini. Sementara aku belum berubah ini, aku nak elak dari manusia.

*****

Panjang betul aku taip. Kalau nak tahu, post ini sudah mula ditaip sejak beberapa hari lepas lagi. Namun oleh kerana asyik rasa nak menangis ketika taip, aku selalu berhenti dan sambung pada keesokan hari pula. Untuk makluman anda juga, aku tidak taip untuk membuat orang lain sedih. Aku adalah Amna, biasanya aku yang ceriakan hidup orang. Tapi, aku bukan 'Amna' yang biasa sekarang. Sekarang aku adalah Amna yang negatif. Amna yang malas layan orang. Amna yang nak jauhkan diri dari manusia. Amna yang malas senyum. Dengan menjadi begini, hidup aku terasa sunyi, tapi entahlah. Tak kisahlah. Sunyi buat masa sekarang sahaja. Aku akan kembali menjadi Amna yang normal. Cuma, entah bila. Baiklah, aku perlu kembali menyiapkan komik. Sekarang, aku cuma tertanya-tanya. Siapa di antara anda yang betul-betul baca keseluruhan coretan ini? Angkat tangan.

Wednesday, November 30, 2016

Gelisah


Aku berada dalam keadaan yang amat gelisah sekarang. Situasi yang aku tak mampu mengubah apa-apa keadaan, juga tak mampu menyumbang apa-apa. 


Anda boleh lihat aku senyum dan ketawa seperti biasa. Namun susah hati aku,  ribut dalam hati aku, siapa yang tahu? 
Terpaksa pilih antara tangungjawab dan kasih sayang, ianya tidak semudah yang aku sangka. 


Tolong doakan yang terbaik untuk Tok aku. Aku di sini dihantui tangungjawab terhadap kerja sedangkan hati meronta-ronta mahu pulang. 


*semua lukisan di atas,  dilukis menggunakan telefon pintar ketika menemani Tok di hospital. Aku tak pandai gambarkan perasaan menggunakan kata-kata. Aku lebih selesa guna visual. 

Friday, November 18, 2016

Aku Boleh Lompat

Aku pernah mendapat satu mimpi. Mimpi yang pelik tapi aku dapat pengajaran dari mimpi tersebut. Oleh itu, aku rasa apa salahnya aku catitkan kisah mimpi itu di sini.

*****

Terdapat sekumpulan anak muda, kena memanjat tembok kuno, yang diperbuat dari batu-batu. Kuno tetapi kukuh. Perlu panjat sampai ke puncak. Tingginya tembok itu sampai ke awan. Aku, merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan itu. Sebelum bertolak, Abah aku risau sangat. Dia berpesan kat kumpulan aku, "Sesiapa, tolong tengok-tengokkan anak pakcik. Dia gayat." Walaupun betul aku gayat, tapi aku bertegas, "Tak apa, Amna boleh lah!" Tiba-tiba muncul seorang lelaki, yang aku langsung tak kenal, dia kata: "Tak apa pakcik, saya akan tengok-tengokkan Amna". Betapa aku marah dalam hati dengar ayat dari lelaki tu. Ceh, Aku boleh jaga diri! Kau siapa?! Aku tak perlu kau! Tapi marah dalam hati saja lah. Aku malas nak mulakan pergaduhan.

Perjalanan memanjat tembok bermula. Untuk memanjat tembok ini, perlu dalam keadaan berbaris. Maksudnya, jika salah seorang lambat, akan menyebabkan ahli-ahli yang ikut dibelakang menjadi lagi lambat.



Tapi, tak boleh panjat sebarangan. Walaupun kumpulan kami melalui laluan yang sama secara berkumpulan, tetapi terdapat pemegang dan pemijak di tembok itu dalam bentuk yang berbeza-beza. Kita kena mengenali diri sendiri, setiap orang, serasi dengan pemegang dan pemijak yang berbeza bentuk. Jika terpijak pada bentuk yang tak sesuai untuk diri sendiri, akan jatuh. Ini bermakna, aku tak boleh ikut apa yang orang di depan aku pijak. Aku kena kenal sendiri bentuk pemijak dan pemegang yang sesuai dengan aku.


Maka, aku memanjat dengan perlahan-lahan dan berhati-hati. Lelaki tadi, ikut di belakang aku. Dia berkata: "Jangan risau Amna, kalau kau jatuh, aku sambut." Lagi sekali aku marah-marah dalam hati; "Kau siapa? Macam lah aku akan jatuh!"

Selepas jauh perjalanan memanjat itu, kumpulan kami hampir tiba di puncak. Betapa tingginya puncak, sehingga dah tak nampak tanah di bawah. Awan disekeliling kami. Setibanya di puncak tembok itu, kelihatan satu pondok. Pondok yang macam diperbuat daripada buluh atau kayu, tetapi kukuh. Pondok itu dibina atas bukit agaknya. Aku pun tak berapa pasti. Samar-samar. Namun, untuk menjejakkan kaki ke pondok itu, terdapat jarak sebesar lebih kurang sedepa daripada tembok yang kami panjat. Mahu tak mahu, kena lepaskan tangan dari tembok ini, dan melompat ke arah pondok itu.


Aku ketakutan. Bagaimana jika aku lompat tak sampai? Tentu aku akan jatuh jauh ke bawah. Tapi selagi aku tak lompat, aku melambatkan orang-orang dibelakang aku yang sedang menunggu giliran untuk lompat. Tiba-tiba lelaki tadi, lagi sekali bersuara: "Lompat je Amna. Kalau jatuh, aku sambut." Dengan mengumpul segala keberanian, aku melompat. Syukur, kaki ku selamat mendarat ke pondok itu.


Setibanya di pondok itu, semua di situ adalah anak-anak muda yang sudah berjaya sampai. Masing-masing sekadar duduk-duduk bersembang dan berkeliaran di situ. Aku amat gembira sudah berjaya sampai. Dalam kelompok manusia ramai-ramai itu, aku mula mencari lelaki tadi. Lelaki yang sentiasa di belakang aku sepanjang perjalanan tadi. Aku mahu berterima kasih kepadanya. Tapi dia tak kelihatan di mana-mana. Aku menjerit-jerit memanggil namanya. (anehnya, aku tak ingat nama tu walau aku ingat aku menjerit memanggilnya) Aku terus memanggil-manggil sehingga aku terjaga dari tidur.

*****

Terjaga dari mimpi, aku termenung seketika. Segala memori mimpi bermain semula di minda. Namun, satu perkara yang terdetik dalam hati aku ketika itu adalah, kenapa aku mencari semula lelaki itu selepas aku berjaya tiba di destinasi? Aku berjaya lompat adalah kerana usaha sendiri. Lelaki itu tidak menyumbang apa-apa. Kenapa aku perlu rasa berterima kasih kepadanya?

Timbul persoalan, apakah yang menyebabkan aku berani lompat? Kerana aku percaya diri sendiri? Atau kerana aku percaya ada yang akan sambut aku jika aku jatuh? Aku pilih sebab yang pertama. Aku percaya diri sendiri.

*****


Berdasarkan cerita ini, aku dapat beberapa pengajaran:
1. "Untuk memanjat tembok ini, perlu dalam keadaan berbaris. Maksudnya, jika salah seorang lambat, akan menyebabkan ahli-ahli yang ikut dibelakang menjadi lagi lambat".
- Dalam kerja berkumpulan, jika kita seorang yang buat salah, akan memberi kesan kepada seluruh kumpulan.

2. "Walaupun kumpulan kami melalui laluan yang sama secara berkumpulan, tetapi terdapat pemegang dan pemijak di tembok itu dalam bentuk yang berbeza-beza. Kita kena mengenali diri sendiri, setiap orang, serasi dengan pemegang dan pemijak yang berbeza bentuk. Jika terpijak pada bentuk yang tak sesuai untuk diri sendiri, akan jatuh".
-Walaupun kita sama bidang dan hala tuju, perjalanan setiap orang berbeza. 

3. Ada orang yang berkata dia sentiasa akan bantu kita. Tapi hakikatnya, yang bantu kita adalah diri kita sendiri. Orang itu tak lebih dari sekadar berkata-kata.

4. Aku terlalu yakin dengan diri sendiri. Sehingga apabila terjaga dari tidur, aku masih mahu mengakui bahawa aku berjaya lompat kerana diriku, bukan kerana kata-kata dia. Aku tak tahu adakah ini satu sifat yang baik, atau sifat buruk.

5. Tak semua orang yang sama-sama berjuang dengan kita, akan tiba ke destinasi bersama kita.

6. Adakalanya, kita mula menghargai seseorang itu hanya selepas dia tiada lagi di sisi kita.




Aku tahu ini hanya mimpi. Namun, jika anda peka, kisah ini bukan sekadar mimpi, tapi kita boleh kaitkan dengan kehidupan kita. Bukan sekadar kehidupan aku, anda semua juga boleh kaitkan dengan kehidupan anda bukan? Jadi, berdasarkan cerita ini, apa pula tafsiran anda?



Thursday, October 20, 2016