Sunday, May 17, 2015

Pendar Ratna oleh Amna Shark



Hai semua.... aku ada hasilkan komik baru. Pendar Ratna tajuknya. Pendar bererti sinar atau kilau manakala ratna bererti permata. Mengisahkan tentang Intan yang menjalani latihan praktikal di sebuah muzium. Tidak disangka-sangka, muzium tersebut menyimpan satu kisah lain...


Nama watak utama, Intan, juga bermaksud permata. Semasa memikirkan tajuk komik ini, ada beberapa tajuk lain yang aku pertimbangkan. Antaranya ialah 'Sinar Ratna' dan 'Relap Ratna'. Tapi aku pilih Pendar Ratna kerana Umi aku suka tajuk itu. Memandangkan Umi adalah orang sastera, aku mempercayai pilihan Umi.

Kini, Pendar Ratna boleh dibaca di sini.

Jika anda suka komik tersebut dan mahu baca sambungannya, kenalah undi. Kerana jika mendapat undian top 6 sahaja aku boleh teruskan melukis Pendar Ratna.

Tolong undi di sini.

Sebarang kritikan atau pandangan mengenai Pendar Ratna, jangan segan silu untuk memberitahu ku. Kerana aku masih perlu belajar banyak perkara dalam komik. Terima kasih...



Wednesday, May 13, 2015

Anak-anak Tommy

Seperti yang aku janji sebelum ini, aku akan cerita kisah anak-anak Tommy. Tommy mendapat tiga ekor anak. Seekor corak tompok seperti Tommy. Seekor lagi hitam keseluruhan badan. Hitam sehitam hitamnya, bagai bontot kuali. Sehingga tak nampak mukanya. Seekor lagi, berwarna kelabu. Kelabu bagaikan kucing Russian Blue pula. Namun, tiada seekor pun bercorak seperti Guli. Ini membuatkan aku mula rasa Guli bukan bapa mereka.


Adikku Najaa, dan Umi, suka betul dapat anak kucing kelabu. Main cop-cop pulak. "Cop, yang kelabu Najaa punya.." Hampir setiap hari aku dengar ayat ini. Aku malas lah nak berebut. Biar mereka dua beranak je berebut. Aku suka yang hitam.


Lama-kelamaan, si kelabu mula tunjukkan belang. Tidak, ini bukan tunjuk belang seperti peribahasa yang bermaksud tunjuk perangai sebenar tu. Ini benar-benar tunjuk belang. Badannnya yang sebelum ini kelabu, makin lama makin kelihatan corak belang. Kini, semua kaki dan mukanya bercorak belang. Warna juga makin keperangan. Ekor menjadi hitam. Hanya tinggal badan sahaja yang masih kelabu. Makin menyerupai corak Guli. Aku kembali syak bahawa Guli adalah bapa mereka.


Apa jadi kepada Umi dan adikku yang suka kucing kelabu? Mereka mula mengeluh "Alaa.. janganlah ada belang". Boleh pula nak pilih-pilih corak kucing. Haha..