Aku dan Scoliosis. Sudah lama aku ingin menulis mengenai ini di blog ku. Tapi asyik tangguh-tangguh saja. Tak tahu lah kenapa. Mengumpul keberanian agaknya.
Apa itu Scoliosis? Aku tulis apa yang aku tahu sajalah. Ia adalah masalah tulang belakang yang bengkok atau senget. Kebiasaannya terjadi kepada kaum perempuan. Puncanya, tiada. Boleh terjadi kepada sesiapa saja. Sebenarnya, ya, aku ada Scoliosis. Aku terbaca blog seseorang yang juga mempunyai Scoliosis. Dari blog dia, aku belajar banyak perkara mengenai Scoliosis, malah, dia beri aku kekuatan untuk hadapinya. Lihat blog dia
di sini.
Sejarah Scoliosis aku
2006-Aku berusia 16 tahun, tingkatan 4. Abah mula menyedari tulang belakang aku timbul sebelah. Sangkaan Abah, aku duduk dengan posture salah. Jadi, aku cuba untuk duduk setegak yang mungkin. Sebenarnya, ada jenis Scoliosis yang mula terjadi apabila seorang budak mencecah remaja. Aku berada dalam katogeri itu. Sebab tu Scoliosis ku muncul pada usia 16. Tapi, ketika itu, aku masih belum mengenali Scoliosis.
2007- Hujung tahun 2007, aku menamatkan SPM. Aku terpilih untuk menyertai PLKN di Sarawak. Sebelum ke PLKN, haruslah menjalani medical check-up dahulu. Itulah pertama kali aku buat X-ray. Melihat saja kepada X-ray ku, doktor melarang aku pergi ke PLKN.
2008- Aku menyambung pelajaran di UiTM Melaka. Aku mula rasa kesan Scoliosis kepada aku. Masa terus berlalu, tulang semakin bengkok, kesan semakin terasa. Sekali setiap 6 bulan, akan berjumpa doktor. Kadang-kadang, setahun sekali saja.
2013- Akhirnya, aku berhenti jumpa doktor yang kebiasaannya aku jumpa sekali setiap 6 bulan. Aku berjumpa pula dengan doktor yang dicadangkan oleh seorang sepupu aku yang memiliki scoliosis juga, dan dia telah selamat menjalani pembedahan. Langkah seterusnya, InsyaAllah akan diberitahu kemudian.
Scoliosis dan kehidupan seharian
Lihat gambar kerusi di atas. Cerita mengenai kerusi itu boleh baca di
sini. Inilah kehidupanku zaman UiTM dulu. Aku perlukan kerusi yang ada span pada penyandarnya. Jika tidak, aku akan sakit belakang. Kalau duduk pada bangku yang tiada penyandar, boleh, tapi tak lama kemuadian akan berasa lenguh. Untuk pengetahuan semua, kerusi di atas adalah kerusi yang dicuri dari auditorium berdekatan studio ku dulu. Walaupun sudah beberapa kali dimarah kerana mengambil kerusi ini bawa ke studio, aku tetap mengambilnya lagi.Tak tahan lah guna kerusi lain.
Nasib baik aku student art, banyak menghabiskan masa di studio. Di studio, duduk bebas. Taklah sakit. Tetapi, seminggu sekali, aku akan masuk kelas liberal studies. Kelas yang perlu duduk ber jam jam lamanya untuk mendengar kuliah. Kerusi dalam kelas liberal pula adalah kerusi dengan penyandar yang keras. Tuhan sajalah yang tahu betapa aku menahan sakit dalam kelas tersebut. Tapi aku suka matapelajan tu. Kini aku sudah menjalani kehidupan kerja. Nasib baik kerusi di office aku dengan penyandar yang lembut.
Lenguh-lenguh dan sakit belakang, itu normal bagi kami yang scoliosis. Tak larat berjalan lama, tak larat berdiri lama... Mengangkat barang yang berat juga tak mampu. Barang yang tidak berat bagi orang lain, adakalanya berat untuk aku.
Scoliosis dan keyakinan diri
Mempunyai tulang belakang yang bengkok boleh membuatkan seseorang hilang keyakinan diri. Rasa malu nak tampil depan orang ramai, (Contohnya buat presentation di depan kelas) takut orang nampak badan yang senget ini. Satu ketika dulu, aku sanggup berdiri menggunakan sebelah kaki lama-lama setiap kali perlu berdiri di tempat orang ramai. Sebab bila berdiri sebelah kaki, bengkok di badan aku tidak kelihatan. Sampai sakit sebelah kaki aku, aku tak kisah. Asal aku kelihatan tegak seperti orang lain. Tapi kini, aku pun tak pasti dari mana aku dapat semula keyakinan aku. Aku dah tak kisah orang nampak aku senget. Malah aku jujur je pada kawan-kawan aku, aku mempunyai scoliosis. Lagipun, Abah aku selalu puji aku cantik. Jadi, aku tak perlukan lagi dah pujian cantik dari oarang lain. Bagi aku, senget tidak menjejaskkan kecantikan. Kalau ada yang rasa senget itu buruk, tu terpulanglah pada mereka. Aku tak kisah.
Nasihat aku kepada adik-adik di luar sana yang sama-sama memiliki scoliosis, tak perlu malu! Tuhan jadikan tulang kita begini, kenapa perlu malu? Kira ok lah memiliki tulang belakang daripada langsung tiada tulang belakang. Betul tak?
Bila kawan-kawan tahu bahawa aku ada scoliosis, ada dua reaksi yang aku biasa terima.
Reaksi 1:
"Oh, yakah? Tak apa Amna.. Bukan nampak pun. Kalau Amna tak beritahu, tak ada siapa perasan Amna senget."
Reaksi 2:
"Oh.. patutlah... Memang selama ni dah nampak Amna jalan macam lain sikit" (Sambil tunjuk contoh dengan sengetkan bahu dia)
Dua reaksi ni lah yang biasa aku terima. Aku tak kisah. Apa orang nak cakap, cakaplah..
Scoliosis dan emosi
Aku tahu ramai yang ada scoliosis di luar sana. Aku tahu kami semua memiliki masalah yang sama, sakit belakang dan lenguh. Tapi aku tak tahu bagaimana dengan perasaan mereka. Sama kah dengan apa yang aku rasa?
Scoliosis, adakalanya, buat aku sedih. Bukan sedih kerana memiliki scoliosis, tapi sedih dengan apa yang aku tak mampu buat. Contohnya, mana-mana ibu di luar sana yang memiliki anak berusia 20 lebih, pasti senang hati, boleh jalan-jalan sambil anaknya tolong angkat barang. Tapi kisah Umi aku lain. Umi yang kena tolong angkat barang aku, bukan aku yang tolong angkat barang Umi. Aku tahu Umi tak kisah, tapi sebagai anak, aku ada juga rasa malu tak mampu tolong ibu sendiri. Kawan aku nasihatkan aku, mungkin aku boleh tolong Umi dengan cara lain, bukan dengan cara angkat barang. Ya, mungkin betul. Aku akan cuba tolong dengan cara lain. InsyaAllah.
Contoh yang kedua. Apabila keluar dengan kawan-kawan. Bila aku letih berjalan, aku ajak duduk. Memanglah diorang tak kisah, diorang boleh je teman aku duduk. Cuma aku ada juga rasa sedih, sebab aku, semua kawan-kawan ikut duduk, berhenti sekejap daripada jalan-jalan.
Scoliosis dan masyarakat
Masyarakat atau orang sekeliling, ramai saja yang sudi bantu aku, terutamanya dari segi angkat barang-barang yang berat. Tetapi, siapa yang benar-benar fahami apa yang kami scoliosis ni alami? Hanya scoliosis yang memahami scoliosis.
Ada satu kisah.. Satu hari, aku terlena di rumah Mak Cik aku. Aku terlena di atas karpet. Dalam keadaan mamai, aku terdengar suara sepupu aku. "Eh, suruh Amna tidur atas tilam. Dia tu ada scoliosis." Sepupu aku tu yang ada scoliosis juga tu. Ketika itu, aku gembira sangat. Buat pertama kalinya, aku berjumpa dengan orang yang benar-benar memahami situasi scoliosis.
Menyedari bahawa hanya scoliosis memahami scoliosis, aku menyertai group scoliosis di facebook. Menyertai mereka benar-benar bagi satu semangat baru pada aku. Akhirnya, ada tempat mengadu yang orang akan faham. Malah, boleh dengar pelbagai kisah scoliosis orang lain. Lagipun, mengetahui bahawa ramai lagi yang memiliki scoliosis dalam Malaysia ni, buat aku kurang rasa takut. Kalau orang lain boleh tempuhi pembedahan, tentu aku pun boleh.
Aku ada terdengar, ada adik di luar sana yang memiliki scoliosis, tapi tak berani ambil langkah seterusnya. Tak berani jumpa doktor, tak berani X-ray. Aku dengar kisah ini dari adikku, kawannya memiliki scoliosis. Jadi, selain dia, entah-entah ramai lagi di luar sana yang begitu. Kepada sesiapa yang memiliki masalah yang sama, sila jangan takut. Aku sudi jika mahu dengar cerita anda, beri nasihat, sokongan dan beri pendapat. Jika nasihat aku tak boleh pakai, masih ramai lagi yang ada scoliosis yang turut sudi bantu anda. Percayalah.
*****
Itu saja buat masa ini. Terima kasih bagi yang penat-penat saja baca panjang-panjang. Bagi yang memiliki scoliosis, semoga gembira selalu. Bagi yang bakal menjalani pembedahan, semoga Tuhan permudahkan.
Aku tak kisah ada scoliosis.
Hidup aku sudah pun sempurna serba serbi.
Anda?