Tuesday, December 31, 2013

Tamatnya 2013


Alhamdulillah, 2013 berakhir dengan baik-baik saja untuk aku. Tahun ini adalah tahun yang paling mencabar bagi aku. Tahun ini aku bukan lagi seorang pelajar. Aku sudah masuk alam pekerjaan sejak hujung tahun lepas lagi. Tapi, apa yang mencabarnya dalam tahun ini, bukan kerana alam pekerjaan. Yang mencabarnya adalah bagaimana aku mahu terus berjuang untuk azam yang telah aku tanamkan sebelum masuk 2013 lagi.

Azam aku untuk tahun ini berbeza dengan tahun-tahun lepas. Ini kerana aku menyedari hakikat yang aku bukan lagi seorang pelajar. Fikiran, tingkah laku, semuanya kena lebih matang. Segala-galanya tentang aku harus diperbaiki. Tak boleh ada lagi dendam dendam, gaduh gaduh, benci benci.

Lagi pun, dalam usia sebegini, satu hari nanti InsyaAllah aku akan menjadi seorang ibu. Kalau jadi ibu, biarlah jadi seorang ibu yang layak dijadikan contoh oleh anak-anaknya. Betul bukan? Eh? Bukankah aku masih terlalu kanak-kanak untuk fikir tentang ini. Hehe..

Syukur untuk segalanya yang terjadi dalam tahun ini. Tahun depan, aku akan berusaha lebih lagi. InsyaAllah...


Monday, December 30, 2013

Fesyen Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah

Tadi aku menemani adik bongsuku, Najaa, ke sekolah menengah. Hari ni hari orientasi mereka. Najaa masuk ke sekolah yang sama dengan kami adik beradik semua dulu. Wah.. nostalgik sekali rasa apabila pulang ke sekolah dalam keadaan dah dewasa. Tadi, semuanya pelajar tingkatan 1 sahaja. Ewah.. kemas sekali pakaian masing masing pada hari orientasi. Sempurna mengikut peraturan sekolah. Harap adik-adik semua boleh kekalkan pakaian sebegitu hingga tamat tingkatan 5 atau 6 ya?

Terkenang zaman persekolahan ku dahulu. Biasalah remaja... Suka memberontak. Tak mahu ikut peraturan sekolah. Jadi, ini beberapa contoh pakaian pelajar sekolah menengah pada zaman aku sekolah dahulu yang masih aku ingat.


Sudahlah rambut tidak kemas. Pakaian pun tak kemas. Lencana dan tag nama entah ke mana. Baju tidak dimasukkan dengan sempurna. Masuk sebelah sahaja. Seluar berkaki kecik. Macam kaki ayam je. Kurus kering nampak. Sangatlah selekeh ye anak-anak sekalian.. Siapa pakai begini, tak ada peminatlah di zaman sekolahnya. Kesian.


Ada juga pakaian yang tampak kacak. Salah seorang rakan sekelasku pakai begini dulu. Baju kemaja langsung tidak dibutangkan. Kelihatan T-Shirt berwarna yang dipakai di dalam. Oh, kacaknya...Hanya aku saja yang puji pakaian begini kacak. Siapa berani pakai begini, bersedialah untuk lari marathon apabila ternampak muka pengetua.


Bersongkok memang fesyen sepanjang zaman. Ketika aku bersekolah dulu, memang boleh dijumpai pelajar yang bersongkok. Tapi, yang aku kenal, dia memakai songkok untuk menyembunyikan rambut panjangnya. Rambut panjang memang tak dinafikan, amat kacak. Tapi tiba hari cikgu bawa gunting rambut, menangislah anda. 

Ada juga pelajar yang memakai tali leher selain dari tali leher sekolah. Aku faham perasaan mereka, tali leher sekolah amat tak stylish. Tapi, tali leher lain, terlalu menonjol. Lebih baik tak usah pakai tali leher langsung. 



Pelajar lelaki, apabila berpakaian langgar peraturan, memang selalunya nampak kacak. Tapi pelajar perempuan kalau langgar peraturan, teramatlah buruk. Maaf, memang buruk. Celak mata setebal alam. Kenapa pakai celak tebal-tebal? Muka anda dah sediakala cantik bukan? Tudung pula dipotong sendiri, biar pendek. Ternampak leher sekali sekala apabila anda menoleh. Maaflah adik-adik yang berpakaian begini, buruk! Faham tak? Nampak seperti makcik-makcik yang pakai tudung sekadar nak keluar sidai baju. Lengan baju tu pula, usahlah sinsingkan. Lengan tu aurat. Nak pergi basuh pinggan ke dengan lengan baju sebegitu? Kain pula sesingkat yang mungkin. Stokin juga pendek. Nampak kaki. Adik-adik ni baru sudah redah banjir ke? Buruk.


Pakaian aku ketika bersekolah dulu pula bagaimana? Alhamdulillah, senakal-nakal aku, aku tak sampai melanggar peraturan pakaian sekolah. Cuma tag nama je tidak pakai. Apabila tiba hari spot check, segera cari double sided tape, tampal tag nama tersebut. Oh ya, pakaian aku dulu, biasanya ada secalit dua cat. Di lengan baju ada sedikit warna hijau. Di tudung ada sedikit warna oren. Hehe.. itu kerana aku adalah pelukis sejak dari bangku sekolah lagi. 

Itu saja antara beberapa jenis fesyen yang aku ingat. Kepada adik-adik yang nak masuk sekolah menengah tu, aku tak kisah bagaimana sekalipun pakaian anda. Sebab aku bukan seorang guru. Tapi, satu nasihat dari aku, sila sayangi guru-guru anda. Ikut cakap mereka. Mereka tu melakukan pekerjaan yang amat mulia tahu. Satu hari nanti, apabila anda sudah besar berjaya, guru anda masih di situ, masih di sekolah yang sama, meneruskan tugas yang sama. Kawan-kawan aku yang berpakaian langgar peraturan ini pun, reti hormat cikgu-cikgu mereka. Aku, selepas tamat sekolah, masih terus berhubung dengan beberapa cikgu yang aku sayang. Sekali sayang, selama-lamanya sayang. Ok, selamat bersekolah!!!


Sunday, December 29, 2013

Benci..

Benci.
Dengar tajuk saja sudah cukup membencikan.
Apa yang aku benci?

Aku ada hidup yang sempurna. Serba serbi cukup Allah beri kepadaku. Makan minum, keluarga, kebahagiaan. Semuanya ada. Tapi kenapa aku tak boleh jadi hamba Allah yang sempurna? Benci diri sendiri.

Rumitnya.. Perkara sebegini memang rumit atau kita manusia ini yang merumitkannya?

Apabila anda semua membaca ini, tolong jangan menilai diri ku. Apa kata cerminkan diri sendiri dulu. Di mana kekurangan kita?

Hidup ini indah. Jangan burukkan ia dengan kesilapan sendiri.

Thursday, December 19, 2013

Header baru


Sudah agak seketika juga aku tidak menukar header blog. Oh yeah!!! Hari ini aku berjaya mencuri masa sedikit untuk membuat header baru.

Header baru aku ni, mungkin tak ada sebarang makna tersirat. Itu pun sama ada ia mempunyai makna atau tidak, bergantung kepada orang yang menilainya bukan?

Mungkin ia sekadar beberapa watak yang aku suka-suka lukis. Mungkin juga ia melambangkan diri pelukis itu sendiri. Mungkin juga ia melambangkan satu impian yang terpendam. Siapa tahu kan?

Tapi, tak perlu serabut otak fikir apa maknanya. Sebab, bila header ini mempunyai makna, kelihatan agak poyo lah pulak. Jadi, biarkan ia tanpa sebarang makna. Jika mempunyai makna pun, biarkan ia kekal misteri.....

Sekian, Jumpa lagi dalam post akan datang~~~~


Wednesday, December 18, 2013

Sepit Rambut

Kebiasaannya, aku memakai sepit rambut sambil melakukan apa-apa kerja di rumah. Kadang-kala, perkara seperti ini berlaku....








Friday, December 13, 2013

Bangun !

 Sudah sebulan lebih hari berlalu selepas pembedahan aku. Aku sihat, Alhamdulillah. Masih belum bekerja, Umi tak izinkan lagi. Aku akur sajalah memandangkan, bila lagi nak rasa duduk rumah hari-hari macam anak dara zaman dulu.

Sesekali, aku akan terkenang saat-saat di hospital dulu. Ketika itu, terlalu banyak perkara aku pelajari dalam satu masa. Selepas pembedahan aku yang pertama, aku terbaring atas katil beberapa hari. Kalau tak silap aku, dalam lima hari aku terbaring. Sehingga belakang kepala rasa sakit sebab terlalu lama berada dalam keadaan begitu. Mahu anggkat kepala pun tak mampu, apatah lagi jika nak tidur mengiring, memang tak boleh. Tapi, adik-adik yang ada scoliosis di luar sana yang masih belum jalani pembedahan, akak nak kata, akak bukan nak takutkan adik-adik semua. Cuma akak rasa, seelokknya adik-adik semua tahu supaya bersedia menghadapinya nanti. 

Akhirnya, tibalah saat yang aku nantikan. Doktor datang menyuruh aku bangun. Tapi, apa yang keluar dari mulut aku ketika itu ialah: "Macammana?" 

Ketawa doktor tu mendengar pertanyaan aku. Barulah aku tersedar. Seumur hidup aku, inilah kali pertama aku bertanya soalan bagaimana hendak bangun. Satu soalan yang orang lain mungkin tak terfikir langsung. Itu adalah rutin harian manusia biasa, tapi aku bertanya bagaimana hendak lakukannya. Agak pelik jika difikirkan kembali. Seorang budak yang baru pandai berdiri pun tak tanya soalan bagaimana hendak bangun. Dia akan cuba sendiri. Nampak tak? Dapat bangun adalah satu nikmat. Nikmat yang aku selaku manusia biasa tak sedar sehinggalah kehilangannya. 

Berbalik kepada cerita tadi, doktor itu baik orangnya. Dia ajar aku bagaimana hendak bangun. Dari keadaan terbaring, dia suruh aku mengiring dahulu. Tapi mengiring pun aku tak dapat buat. Doktor yang tolong mengiringkan badan aku. Dari keadaan mengiring pula, doktor suruh gunakan sebelah tangan, tolak tilam sambil bangunkan badan. Itupun aku tak dapat buat juga. Tangan terasa lemah sangat untuk menangkat badan ni. Macam ada besi dalam badan rasanya. Ok, lawak. Sila ketawa. Memanglah ada besi dalam badan. Besi yang dikenali sebagai titanium. Memandangkan aku masih tak dapat bangun sendiri, doktor tu pegang kedua-dua bahu aku dan bangunkan aku. Sekarang aku sudah bangun, tetapi baru bangun dari baring sahaja. Masih belum berdiri. Masih terduduk di atas katil. 

Kali ini, doktor suruh aku berdiri. Aku betul-betul mahu berdiri, tapi entah kenapa memang susah. Badan terasa berat sekali. Aku teringat kata-kata sepupu aku yang telah berjaya jalani pembedahan yang sama. Katanya: "Semangat untuk bangun kena kuat!" Beberapa kali juga dia ulang kata-kata yang sama. Nampaknya, memang semangat yang kuat diperlukan. Aku pun, sedaya upaya lah kuatkan semangat, mesti bangun Amna! "Amna! Amna! Amna! Amna!" Terdengar sorakan yang penuh semangat dalam kepala otak aku. Ya, aku bayangkan saja bunyi sorakan tu. Bukan ada betul-betul pun. Kali ni doktor tak tolong. Cuma aku pegang tangan doktor. Tiba-tiba aku dapat berdiri! Aku berdiri buat pertama kalinya selepas pembedahan aku! Perasaan aku ketika itu, bagai terdengar sorakan satu stadium hanya untuk kejayaan berdiri aku. Alhamdulillah... Berdiri juga adalah satu nikmat. Nikmat yang aku tak terfikir untuk lafazkan syukur sebelum ini.

Sebaik saja aku berdiri, kiri kanan aku dipimpin cik jururawat yang manis-manis dan baik hati dengan pakaian putih suci mereka. Mereka terus memimpin aku berjalan ke arah alat ukur ketinggian. Oh, perkara penting selepas bangun adalah ukur tinggi ya? Nampaknya begitulah. Sebab kebiasaan mereka yang scoliosis ni akan bertambah tinggi selepas pembedahan. 


 Sebaik saja tahu ketinggian terkini aku, satu perasaan yang tak disangka-sangka muncul. Sudah sekian lama aku idamkan ketinggian. Sedangkan aku hanya boleh milikinya jika memakai kasut tumit tinggi. Kini, ketinggian ku bertambah. 4.5 cm. Ya, walaupun cuma 4.5cm, tapi ini terlalu fairytale bagi aku. Serta merta tambah tinggi? Susahnya nak percaya. Sebab sebelum ini ketinggian aku tak pernah bertambah sejak tingkatan 3 lagi. Aku tak dapat berhenti senyum.


Walaupun tambahan 4.5 cm tak dapat menjadikan aku miliki badan tinggi seperti seorang super model, tapi aku tetap tersenyum sambil membayangkan rupa aku dah macam model. Haha.. Tak tinggi macam model pun tak apa. Sekurang-kurangnya aku dah sama tinggi dengan adikku, Tonah. 

Apa yang aku pelajari daripada peristiwa ini, jika satu hari nanti aku jatuh, (bukan jatuh atas jalan tu.. jatuh dari segi hidup) aku akan guna semangat yang sama untuk bangun semula.

Paling penting, dalam hidup ni jika kita miliki ketinggian, tak kisahlah dari segi rupa, pangkat atau kedudukan, kita tetap kena miliki satu rendah. Iaitu 'rendah diri'.

* Kepada adik-adik scoliosis di luar sana, ingat! Semangat untuk bangun kena kuat.


Saturday, December 7, 2013

Disney- Frozen

Beberapa hari lepas, aku pergi menonton Frozen. Bersama aku ialah Umi dan adikku. Secara keseluruhan, ianya satu cerita yang bagus. Tak rugi tengok.



Berlagak macam dalam cerita tu kononnya.
Tapi hakikatnya, aku teramatlah tidak tahan sejuk.


Ok, memang tak ada apa nak cerita pun. Sekadar memastikan blog ku tidak sunyi sepi.


Sunday, November 24, 2013

Hidup ini indah

Syukur Alhamdulillah, aku selamat menjalani pembedahan. Aku akan cerita lebih lanjut nanti mengenai kisah pembedahan aku. Tujuan aku satu, untuk memberi semangat kepada mereka-mereka yang scoliosis di luar sana. Aku banyak mendapat semangat dan keberanian daripada cerita-cerita rakan-rakan scoliosis yang lain. Jadi, aku juga perlu cerita kisah aku agar dapat memberi semangat kepada orang lain pula. InsyaAllah.

Operate ini mengajar aku banyak perkara. Malah membuka mata aku untuk melihat dunia dari sudut berbeza. Apa yang aku dapat daripada ujian yang menimpaku ini adalah, 'Hidup ini indah'. Ya, hidup ini indah sangat.

Langit itu indah, hujan itu indah.. Setiap saat aku bernafas itu adalah indah.

Umi dan Abah menjaga ku dengan baik setiap saat. Tok sedara yang berusaha mencari ikan haruan untuk sembuhkan aku. Ibu saudara, bapa saudara, datang melawat dari jauh. Teman seperjuangan di UiTM datang menjenguk.. Ya, hidup ini indah...

Terbaring di katil tak buat apa-apa, mempunyai impian itu indah. Impikan satu hari nanti aku akan berlari di padang yang luas. Satu hari nanti aku akan melompat. Satu hari nanti aku akan menirap, berguling-guling. Semua perkara yang aku pernah buat satu ketika dahulu semasa tubuh masih sihat, semuanya indah. Tapi aku tak pernah sedar bahawa setiap benda remeh itu indah.. sehinggalah jadi begini, baru nampak.

Cerita hidupku yang diaturkan Tuhan, juga indah. Seseorang yang dulu amat rapat denganku dan aku sayang sangat padanya, dia langsung tak ambil peduli apa jadi kepadaku selepas operate. Tapi musuh ketatku yang aku benci sepenuh hati satu ketika dahulu, menjadi baik terhadapku selepas operate. Pelik, aneh sekali rasaku. Terlalu diluar dugaan. Bagai warna putih menjadi hitam, dan warna hitam pula menjadi putih. Tuhan tunjuk kepada ku begini sekali.

Ini adalah satu perasaan yang dah lama hilang dari diri aku. Bagai menjadi kanak-kanak semula. Rasa setiap perkara yang terjadi itu indah.

Aku kesal dengan sikap aku sebelum ini. Jika aku tidak rasa hidup aku indah sebelum ini, itu tandanya aku kurang bersyukur. Apabila kita bersyukur dan rasa cukup dengan apa yang Tuhan beri, ya, dari situlah kita mula rasa hidup ini indah. Sangat indah.

Ini adalah lukisan yang aku hasilkan semasa proses sembuh.
Menggambarkan kini aku melihat dunia dari sudut berbeza.

Adik-adik yang ada scoliosis di luar sana, jangan sedih-sedih. Kuatkan semangat. Hidup ini indah!


Friday, October 4, 2013

Pemilik blog ini bercuti seketika



Hai semua... Terima kasih kerana selalu melawat blog ku yang tak berapa nak misteri ni. Aku hargai lawatan anda semua. Aku bakal menjalani pembedahan.  Jadi aku akan meninggalkan blog ini seketika. Bagi anda yang melawat blog ini sepanjang ketiadaan aku, aku minta maaf kerana buat seketika blog ini tiada cerita baru. Jadi, di sini aku sajikan cerita-cerita lama yang aku ambil secara rawak. Baiklah, aku pergi dulu ya. Jaga diri semua. InsyaAllah kita akan berjumpa lagi...


baca di sini

 baca di sini

baca di sini 

baca di sini 

baca di sini 

baca di sini





Thursday, October 3, 2013

Aku dan Shin Chan

Selepas aku buat post yang aku tiru gaya Shin Chan hari tu, adik aku tiba-tiba bagi gambar Shin Chan kepada ku. Dia tanya, apa persamaan Shin Chan dengan aku. Kemudian, aku tersedar.


Warna pakaian kami sama! Hehe Shin Chan, aku tak ada niat nak tiru kau pun. Warna pakaian doodle aku begini sebab aku suka warna kuning. Merah pula warna yang aku suka selepas kuning.

*****

Baiklah, nak cerita topik lain pula. Hari tu, selepas menonton filem animasi Aladdin (Disney), aku tergerak untuk menghasilkan doodle ini:

Aku menaiki permaidani ajaib bersama Guli


Sejak kecil lagi aku dah menonton animasi tersebut. Bahagian yang paling aku suka dalam cerita itu adalah bahagian menaiki permaidani ajaib dan terbang. Lagu 'Whole new world' yang mengiringi babak tersebut juga merupakan antara lagu kegemaranku.

Aku tertanya-tanya juga pada diri sendiri, mengapa aku suka sangat babak ni sejak kecil? Mungkin bagi aku, indah sekali jika dapat pergi jauh seketika. Hanya seketika saja. Jauh dari kebisingan dunia ini. Pergi melihat tempat yang aku belum pernah lihat. Indah bukan?

Satu hari nanti, aku nak buat kartun sendiri, dan beri kanak-kanak lain pula berangan. Tak salah berangan. Dari angan-angan lah kanak-kanak pasang impian dan cita-cita.


Wednesday, October 2, 2013

Terharu...

Dapat ini dari rakan-rakan Les Copaque.


Dapat ini dari kawan Animasia, Izhan.


Terharu, gembira, hati berbunga-bunga... Nak sembuh cepatlah begini.

*Terima kasih juga kepada pembaca-pembaca blog ini yang selalu memberi kata-kata semangat. Terima kasih semua~~~

Friday, September 27, 2013

Doodle untuk Cik Tira

Hari tu, aku berjumpa dengan kawan baik sejak sekolah rendah. Tira namanya. Tira adalah kawan aku yang paling lama. Lama tu.. sejak adik bongsu aku belum lahir lagi, aku dah berkawan dengannya. Kini adikku dah pun berumur 12 tahun. Lama tak? Lama tak?


Ini, saja-saja buat doodle dia. Dia dah cun yang amat sekarang ni. Dah lah lagi tinggi dari aku. Tak suka!!! Tak suka!!! Haha... Tira, kalau Tira baca ni, (Rasanya memang Tira akan baca) ambil la doodle untuk awak ni. Kalau tak cantik, kena cakap cantik juga. Hehe..


Thursday, September 26, 2013

Perempuan, apabila dipuji cantik

Setiap perempuan cantik. Masing-masing ada kecantikan tersendiri. Rata-rata kawan-kawan perempuanku  juga cantik-cantik. Aku yang sebagai perempuan ini pun, ada kalanya memuji kecantikan mereka. Aku perhatikan, perempuan ni apabila dipuji, macam-macam kerenah ada...


1. Perempuan yang dah biasa dipuji.


Perempuan yang dah biasa dipuji cantik, kebiasaannya jawapan mereka sama saja setiap kali dipuji. Seolah-olah dah hafal dialog apa yang patut dijawab. Kebiasaannya, mereka jawab: "Terima kasih, awak pun cantik juga.." Agaknya tak nak segan dipuji, dia puji kita pula. Tak kisahlah, tak salah pun kan.


2. Perempuan yang tak tahu dirinya cantik


Perempuan yang tak tahu bahawa dirinya cantik ni, susah juga. Mereka akan pandang pelik kepada aku. Macamlah aku yang pelik. Aku puji kerana aku betul-betul rasa dia cantik. Ramai juga perempuan macam ini.


3. Perempuan baik


Perempuan-perempuan yang baik, alim, sopan santun, jawapan mereka mudah saja. Alhamdulillah... Sejuk hati kita yang mendengar ini.


4. Aku apabila dipuji cantik


Suka-suka hati aku je bercakap tentang perempuan lain. Habis jika aku sendiri yang dipuji, apa akan jadi? Oh.. cuma buat gaya sikit, dengan pinjam ayat Shin Chan, "Janganlah puji~~~~~" Selesai. Mereka-mereka yang puji aku, terus menyesal memberi pujian. (Err.. aku guna cara ni dengan kawan-kawan rapat sahaja)


*****

Begitulah berdasarkan pemerhatian aku. Anda-anda di luar sana tu, bagaimana reaksi apabila dipuji? Ehehe.. cerita lah sikit...


Tuesday, September 24, 2013

Ekor Kucing



Setiap hari semasa aku bekerja, aku suka jeling ke kanan.


Sebab, di kanan aku, kebiasaannya aku dapat melihat kucing. Kucing mana lagi, Kiddie kucing gemuk yang aku pernah ceritakan sebelum ni itu lah. Biasanya, Kiddie tu tidur atas kerusi sebelah kanan aku. Kadang-kadang, Kiddie tu terlindung di sebalik kerusi. Dapat lihat ekornya yang bergerak-gerak tu pun, cukup lah. 




Tapi tadi, ketika aku toleh ke arah Kiddie, ada manusia lain sedang duduk di atas kerusi yang sama. Masih kelihatan ekor Kiddie bergerak-gerak. Ini membuatkan ia kelihatan seperti seorang manusia berekor kucing. Sangat real lah. Ekor kucing bergerak-gerak lagi tu. Seolah-olah seorang manusia berekor kucing wujud di depan mata aku.


Aku menyembunyikan ketawa aku, dan meneruskan kerja aku.



Ini mengingatkan aku, dulu aku pernah juga berangan, andai kucing ku, Kembang dan Bubu menjelma menjadi manusia, bagaimana rupa mereka.

Ok tamat. Tutup cerita merepek ni. Pergi sambung kerja masing-masing.


Wednesday, September 18, 2013

Aku dan Scoliosis: 20 hari lagi

Tidak tahu apa itu Scoliosis, baca di sini.


Tinggal lagi 20 hari untuk tarikh pembedahan aku. Tipulah kalau aku kata tak takut kan? Tapi, aku tak mahu takut. Keluarga besar aku, semua membantu aku bagi menjalani pembedahan ini. Bapa saudara, ibu saudara, sepupu sepapat, semua menghulurkan sumbangan agar meringankan beban yang perlu ditanggung oleh ibu bapa aku. Jadi, setelah mendapat pertolongan mereka, tiba masanya untuk aku bantu diri aku. Aku harus berani, yakin, tidak gentar, positif.

Satu ketika dahulu, ketika aku masih belum matang dalam berfikir, aku pernah mempersoalkan, "Mengapa dalam ramai-ramai manusia, aku yang dapat tulang belakang begini?" Ya, itu soalan bodoh ketika aku belum bijak. Tidak patut aku mempersoalkan takdir. Tapi kini, aku mendapat satu jawapan yang luar biasa. Jawapan yang membuatkan aku bersyukur memiliki tulang belakang begini. Jawapannya adalah, Keluarga aku adalah tulang belakang aku. Apabila memerlukan pembedahan, keluarga semua menghulurkan bantuan. Terharunya aku.. Itulah dia, jawapannya. Keluarga adalah tulang belakang aku. Kini aku janji pada diri sendiri, walau apa keadaan pun tiba masa depan nanti, aku akan mengutamakan keluarga aku lebih daripada benda lain. Tuhan memberi aku Scoliosis agar aku nampak semua ini. Allah SWT Maha penyayang kan?

Kini, apa yang penting bagi aku adalah segera sembuh selepas pembedahan. Sebab itu apa yang keluarga aku mahukan. Sepupuku yang telah selamat menjalani pembedahan juga sering berpesan, hati kena kuat untuk sembuh. Jadi, sembuh itu paling penting! Soal kerja, aku tak mahu fikir. Aku tak rugi kehilangan pekerjaan itu. Aku dapat pengalaman yang tak semua orang dapat, itu kata-kata dari seorang rakan yang turut mempunyai Scoliosis.

Akhir kata, tolong doakan semua berjalan lancar ye...


Tuesday, September 17, 2013

Makan aiskrim di Creme de Fume

Hei, siapa pernah makan aiskrim di Creme de Fume? Hari tu aku saja-saja cuba. Lagipun adik aku asyik kata sedap. Apa salahnya aku cuba sekali. Selepas aku cuba, adik aku, Najaa memaksa aku tinggalkan nota di sini. Malah sempat dia pesan agar aku tulis mengenai ini di blog. Jadi, inilah dia...



Nota yang ditinggalkan oleh aku di sini.


Jujur, aku lupa nama perisa yang aku makan ni.

Ulasan aku tentang aiskrim ini...
Err.. aku kurang pandai menilai aiskrim sebab bukanlah penggemar aiskrim.
Tapi, sedap lah.
Tak rugi jika anda ingin cuba.




*Adik aku peminat blog aku. Hari-hari dia bising suruh aku update blog.


Tuesday, September 10, 2013

Semakin hampir...



Tarikh surgery  tinggal tak sampai sebulan lagi ni. Seorang rakan aku baru selamat menjelani pembedahan. Semoga aku punya juga berjalan lancar.


Friday, September 6, 2013

Aku, Scoliosis dan Kerjaya




Rasa bagai nak duduk begini je sekarang. Kecewa...


Begini kisahnya, bagi pembaca-pembaca blog aku yang pernah baca post mengenai scoliosis ku satu ketika dahulu, pasti sudah tahu aku memiliki scoliosis. Akhirnya, tarikh untuk pembedahan tulang belakang ku semakin hampir.

Sekarang yang aku nak cerita, bukan mengenai tulang belakang aku lagi. Tapi mengenai kerja ku. Aku baru saja mendapat kerja ini. Baru dua bulan kerja di sini. Baru saja nak mengenali pekerjaan ini, mereka-mereka di sini, dan suasana sini. Tapi, kerana pembedahan aku, segala-galanya berubah.

Company ini mencadangkan agar aku berhenti kerja saja kerana proses penyembuhan aku memakan masa dan ia memperbanyakkan prosedur. Jadi, dengan berhenti, ia memudahkan setiap pihak. Kebaikan untuk aku adalah, aku boleh ambil masa untuk sembuh selama mana yang aku mahu. Apabila sudah sembuh, aku dibenarkan untuk apply semula kerja di sini.

Ya, ini saja jalan yang baik untuk aku buat masa sekarang. Sebab, jika berhenti kerja, aku dapat ambil masa selama mana aku mahu untuk sembuh. Malah aku boleh berehat tanpa terfikir untuk terkejar kejar pulang ke kerja. Ya, inilah jalan terbaik untuk aku. Cuma, tak dinafikan aku berasa sayang nak buat begitu kerana aku baru saja mendapat kerja ini.

Tapi tak apalah. Aku kena faham yang mana lebih penting. Kesihatan aku lebih penting dari kerja. Aku kena sihat dahulu, baru boleh fikir kerja. Betul tak? Andai ada rezeki aku di company ini, aku akan pulang ke sini semula. Jika tidak, cari tempat lain pun boleh. Asalkan aku sembuh dulu. 

Terima kasih sudi baca.. Jumpa lagi..


(P/S: Terima kasih kepada yang menegur kesilapan aku tadi.)

Wednesday, September 4, 2013

Tali pinggang keledar


Tali pinggang keledar... Kerana arahan Abah, juga demi keselamatan, aku memakai tali pinggang keledar setiap kali menaiki kereta.




Err... Cuma... Aku memakainya, dengan cara aku.



Berhati-hati di jalan raya.


Tuesday, September 3, 2013

2 September 2013

2 September menjelang lagi. Bertambahlah angka dalam umur aku. Umur aku kini 23. Aku bukan jenis yang merahsiakan umur. Aku tak faham kenapa ramai orang merahsiakan umur. Kenapa ya? Alhamdulillah, azam untuk umur yang lalu sudah terlaksana. Iaitu mendapat pekerjaan yang sesuai dengan diri. Azam aku untuk umur kali ini, cuma satu. Aku mahu selamat menjalani pembedahan. 2 September di sini, cuaca hujan. Aku suka hujan. 






 Gambar di atas ini, adalah ucapan dari Izhan, rakan sekerja di tempat lama dahulu. Dia menggunakan watak kegemaran aku untuk mengucapkan selamat hari lahir kepada ku. Aku suka sangat.

Terima kasih bagi semua yang mengucapkan selamat untuk aku dan mendoakan aku. Aku gembira. Bertemu lagi dalam post akan datang. InsyaAllah...




Thursday, August 29, 2013

Aku naik kuda


Pernah dalam post sebelum ini, aku menyatakan keinginan mahu sentuh kuda. Akhirnya, aku dapat sentuh kuda. Bukan sekadar sentuh, naik kuda pun dapat. Syukur Alhamdulillah... Kisahnya, semasa aku pulang ke Kedah masa hari raya baru-baru ini, Pak Su ku membawa aku dan saudara-saudara ku lihat kuda.


 Lihat! Teruna suka aku!!!


 Muka teruja menunggu giliran nak naik kuda.


 Kuda ni Bella namanya.
Gembiranya aku naik kuda, sampai aku rasa seperti aku ni masih kanak-kanak.


Sambil-sambil layan perasaan naik kuda, tahu tak apa yang aku rasa? Aku rasa diri ini bagai seorang Putera dalam kisah dongeng. Kacaknya aku...



*Lambat sangat Sang Putera mencari aku. Kan aku sendiri sudah jadi Putera. Nasiblah...