Monday, July 31, 2017

Gathering Raya Aretis United dan Sucomi

Kredit poster: Haikal Adnin

Pada 23 Julai 2017, Aretis United telah berkumpul untuk menjayakan 'Gathering Raya Aretis United & Sucomi'. Setelah melalui proses perbincangan di kalangan Aretis United, akhirnya kami berjaya laksanakan plan ini. Selain Aretis, (gelaran pengkarya di Sucomi) turut hadir Bos dan para editor Sucomi. Malah, beberapa rakan-rakan pengkarya juga hadir.


Hasil karya gandingan para hadirin.

Kredit gambar: Syamil Nor Lani



Kredit gambar: Syaamil Nor Lani

Ianya merupakan kenangan buatku. Gembira dapat berkumpul bersama rakan-rakan seperjuangan dalam industri ini.

Friday, June 30, 2017

Kisah Dongeng: Sang Burung Hilang Sabar




Pada zaman dahulu, tinggallah Sang Burung dalam satu hutan rimba.

Tak tahu lah kenapa, tiba-tiba sahaja, pada satu hari, Sang Burung didatangi Sang Rusa. Sang Rusa menyatakan hasrat hatinya, ingin Sang Burung merisik Sang Rakun. Tetapi, Sang Rusa berpesan agar Sang Burung merahsiakan identiti Sang Rusa dari pengetahuan Sang Rakun.

Oleh kerana Sang Burung percaya bahawa menyimpan rahsia merupakan satu amanah, maka Sang Burung berpegang kepada janjinya. Lalu Sang Burung pergi bertemu Sang Rakun dan merisik statusnya, tanpa mendedahkan nama Sang Rusa.

Sayang seribu kali sayang, Sang Rakun menyatakan bahawa dirinya sudah berpunya. Sang Burung meminta agar pertanyaan Sang Burung ini dirahsiakan. Sang Rakun bersetuju. Oleh kerana ini adalah rahsia, Sang Burung telah meletakkan kepercayaan kepada Sang Rakun. Sudah tentu, Sang Burung juga menyangka Sang Rakun seorang yang reti memegang amanah seperti dirinya.

Kemudian, Sang Burung menjadi serba salah. Bagaimana dia mahu menyampaikan berita ini kepada Sang Rusa. Lebih kurang dua hari kemudian, Sang Burung masih lagi belum memberitahu Sang Rusa, tetapi Sang Rusa sendiri datang kepada Sang Burung. Sang Rusa menyatakan bahawa, dia sudah tahu status Sang Rakun. Sang Rakun telah datang kepada Sang Rusa dan bercerita: "Seseorang telah datang merisik saya. Tapi saya telah beritahunya bahawa saya telah berpunya."

Sang Burung menjadi sangat marah apabila mendengarnya. Sang Burung tak kisah tentang apa hubungan antara Sang Rusa dan Sang Rakun. Samaada hubungan mereka jadi atau tidak, itu tiada kaitan dengannya. Tapi yang membuatkan dia marah adalah, dia telah meminta Sang Rakun rahsiakan pertanyaan itu. Mengapa itu pun tak boleh dirahsiakan? Sang Burung amat menitik beratkan soal pegang amanah. Dia sendiri memegang amanah Sang Rusa untuk merahsiakan identiti beliau. Apakah dalam dunia ini, hanya Sang Burung yang masih memegang amanah? Apa haiwan lain semuanya tak boleh dipercayai seperti Sang Rakun juga kah? Kepercayaan Sang Burung telah hancur. Dia sudah hilang sabar dan hilang percaya terhadap haiwan-haiwan dalam hutan rimba.

Akhir cerita, mari kita berbincang mengenai situasi ini. Apakah salah Sang Burung untuk berasa marah untuk isu amanah? Atau adakah Sang Rakun tidak bersalah? Apa pendapat anda semua?

Thursday, May 11, 2017

Amna Shark di A Shukri Elias: 'A Solo Curated by Tsabri Ibrahim'

Kisah ini sudah agak lama berlalu. Aku baru berkesempatan berkongsi di sini. Pada 3 Mac 2017 hingga 25 Mac 2017, Abah berjaya mengadakan pameran solo di Balai Seni Visual Negara. Berikut adalah sedikit gambar dan cerita sepanjang pameran berlangsung.


Sebelum acara perasmian


Aku pada hari perasmian.



Aku, bersama bekas pensyarahku Prof Awang, dan Abah

Kawan-kawan pelukis komik turut datang melawat.


Thursday, April 6, 2017

Negatif

Aku betul-betul ada masalah dengan mereka yang tergolong dari golongan negatif ni.

Tak dinafikan, aku juga selalu lalui saat-saat di mana aku negatif, rasa tak bersemangat, menyalahkan diri sendiri. Tapi, kena lah reti bangkit sendiri. Percayalah, kalau bukan kita sendiri yang ada kesedaran untuk bangkit tu, tak ada sesiapa boleh bantu kita. Tak ada siapa melainkan diri sendiri.

Entah kenapa, ramai pula kawan atau kenalan (bukan semua) sekeliling ku yang Tuhan hantar, yang negatif-negatif orangnya. Ya Tuhan, adakah ini satu bentuk ujian untukku? Penat tahu, berhadapan dengan manusia negatif. Susah payah kita cuba naikkan semangat dia, dia teruskan dengan mengeluh kisah malang hidup dia sehingga tak lama kemudian, negatif dia berjangkit ke aku.

Yang mengeluh tak ada siapa suka aku. Padahal diri dia tu sendiri yang tak suka semua orang sekelilingnya. Kau tak suka orang, kau introvert. Kau ingat orang akan suka kau kembali?

Yang mengeluh aku ni tak cantik, tak pandai, kerja biasa-biasa, sebab tu orang tak mahu kawan dengan aku. Hei!! Orang jauhkan diri dari kau, sebab kau negatif, jangan guna alasan tak cantik tak pandai dan sebagainya tu.

Yang mengeluh atas sesuatu yang menimpa dirinya. Contoh, kehilangan sebelah tangan atau kaki, atau ditimpa penyakit. Aku simpati. Tapi tahukah kau, ada orang lain ketika ini baru kehilangan ibu atau bapa.

Yang mengeluh aku tak ramai kawan, bukan macam kau. Tapi bila aku ajak pergi event event besar untuk berkenalan dengan lebih ramai orang, dia tolak pula atas alasan segan.

Yang kata kau senang lah cakap, kau tak berada di tempat aku, lalu menceritakan semua kisah malangnya. Sayangku, kau juga tidak berada di tempatku. Mana kau tahu kau lebih malang?

Yang mengeluh aku tak berguna, aku menyusahkan orang. Erm... Lantak kau la.






Secara keseluruhannya, mereka yang negatif ini selalu mengeluh atas nasib malang yang menimpa mereka. Seolah-olah, merekalah yang paling malang dalam dunia ni.

Aku pernah terbaca, ada seseorang menulis, orang-orang berjaya ada satu persamaan. Mereka mengelak dari bercampur dengan orang negatif.

Aku mula berniat untuk jauhkan diri dengan mereka yang negatif ni. Cuma mungkin seorang dua yang aku tetap sayang, aku tak mampu jauhkan diri. Tapi sabar aku ada batas juga. Sekarang cuma mampu berdoa agar mereka berubah menjadi positif, atau Tuhan tolong panjangkan tahap kesabaranku.

*post ini tidak ditujukan pada seseorang, sebaliknya, semua orang yang ada perangai sebegini, termasuk aku. Harap maklum.

Wednesday, March 1, 2017

Pendar Ratna, Amna Shark dan Sucomi




Post kali ini, aku akan bercerita mengenai Pendar Ratna, Amna Shark, dan Sucomi. Namun aku akan ketepikan soal pengenalan apa itu Pendar Ratna, atau Sucomi. Aku anggap sahaja, semua pembaca aku sudah sedia maklum mengenainya. Ya, anda akan tahu jika anda benar-benar telah ikuti blog aku sejak dulu.

Pendar Ratna adalah sebuah eksperimen.

Hendak terus ke klimaks cerita, iaitu aku kini telah pun setahun lebih bersama Pendar Ratna. Sudah setahun lebih, dan saat post ini ditulis, Pendar Ratna memiliki 8 episod yang boleh dibaca di Sucomi. Pendar Ratna adalah bahan eksperimen ku. Aku mulakan Pendar Ratna dengan niat hendak bereksperimen sahaja. Almaklumlah pada ketika itu aku hanya seorang pelukis komik yang baru mencuba nasib dalam dunia komik. Jika ianya sebuah ekperimen, maka ia seharusnya mempunyai tempoh masa, dan kesimpulan eksperimen. Aku sudah melangkaui tempoh masa. Amna, kau biar betul? Setahun lebih jalankan eksperimen, bila mahu berakhir?

Soal kesimpulan eksperimen pula, Alhamdulillah, Pendar Ratna buktikan pada aku bahawa aku mampu buat pembaca yang tak tahu apa-apa mengenai budaya, datang berkata kepadaku, Pendar Ratna buat mereka suka kepada budaya dan muzium. Satu misi eksperimen telah tercapai. Namun, ada satu misi yang gagal. Iaitu, aku mahu tahu sejauh mana Pendar Ratna mampu bawa aku? Setahun lebih telah berlalu, namun, Pendar Ratna tidak bawa aku ke mana-mana.

Menyedari bahawa aku sudah terlalu lama bereksperimen, aku sedar bahawa satu eksperimen itu, akhirnya akan sampai ke penghujungnya. Maka, ya.. aku ada terdetik untuk hentikan Pendar Ratna. Sudah-sudahlah tu Amna. Kau kena sedar bila sepatutnya berhenti. Apabila aku menghadapi jalan buntu, aku selalu pergi cari Aman Wan. Sebab kata-kata dari beliau selalu bagaikan keajaiban, aku mudah dengar dan menurut. Tapi kali ini, Aman tidak memberi apa-apa kata putus untuk aku laksanakan. Sebaliknya, beliau pulangkan semula soalan kepada ku. "Jadi apa rancangan Amna sekarang?"

"Jadi, apa rancangan Amna sekarang?" Soalan itu berlegar-legar dalam minda aku. Tahu dan mahu, adalah dua perkara berbeza. Aku tahu apa yang patut aku lakukan. Tapi dalam masa yang sama, aku tak mahu. Tahu dan mahu ku tidak selari. Aku tahu sudah masanya aku hentikan eksperimen, tapi dalam masa yang sama, aku tak mahu hentikan Pendar Ratna. Tak mahu!

Aku sedar aku miliki satu kedegilan yang luar biasa jika melibatkan Pendar Ratna. Aku tahu Pendar Ratna tidak membawa aku ke tahap lain. Aku sepatutnya fokus kepada kerja-kerja komik lain yang mampu bawa aku ke tahap lebih tinggi. Tapi aku tak ada kesanggupan untuk hentikannya. Ini kerana, apabila sudah setahun lebih bersama Pendar Ratna, timbul perasaan sayang. Aku sayang Intan. Aku sayang Putera Kayangan. Watak-watak ciptaan ku, walau tidak wujud, aku mula merasa ada ikatan antara aku dan mereka. Tak percaya, sudah.

Hubungan aku dan Sucomi

Jika sudah setahun lebih aku bersama Pendar Ratna, ini bermakna, sudah setahun lebih juga aku bersama dengan Sucomi (dahulu dengan nama Supreme). Jika Sucomi itu umpama satu kapal, kami Aretis United, umpama anak-anak kapal. Kami tidak bersaing sesama kami, sebaliknya, kami bersama-sama menggerakkan kapal yang sama.

Selama berada dalam kapal yang sama ini, aku sudah lihat pelbagai nasib yang menimpa anak kapal. Dalam erti kata lain, nasib yang menimpa komik-komik yang pernah berada di Sucomi. Ada komik yang memiliki ramai peminat dan pembaca, tetapi telah tarik diri pada episod yang ketiga atau keempat. Ada komik yang miliki ramai peminat, malah bilangan episod sudah cecah hingga dua belas, namun, komik tersebut tarik diri juga. Jadi, apa sebenarnya yang diperlukan untuk menjadikan sesebuah komik itu bertahan di Sucomi? Banyak peminat? Banyak episod? Bukan!!! Sudah banyak komik yang memiliki banyak peminat dan banyak episod telah tarik diri. Apa yang diperlukan adalah, kekuatan, kesungguhan dan kecekalan seorang pelukis komik tersebut.

Aku dah lihat banyak komik kegemaranku di Sucomi yang berhenti separuh jalan. Jujurnya selaku peminat komik-komik tersebut, aku sedih. Selaku rakan seperjuangan pula, lagilah sedih. Tapi aku tidak meletakkan kesalahan kepada mereka. Ini kerana, aku selaku pelukis komik sendiri, aku sedar bahawa setiap pelukis komik ada matlamat masing-masing. Jika komik tersebut tidak membawa mereka ke matlamat mereka, berhenti itu adalah pilihan terbaik.

Masa depan Pendar Ratna juga aku tak tahu. Apakah nasib yang bakal menimpa Pendar Ratna? Adakah satu hari nanti aku akan tarik diri juga seperti beberapa rakan-rakan seperjuanganku? Tak ada siapa akan tahu, malah aku selaku pelukisnya sendiri juga tak tahu. Namun, buat masa sekarang, aku masih mahu berada dalam kapal yang sama. Salah satu faktor adalah kerana aku percaya pada nakhoda kapal ni.Tapi jika satu hari nanti tertulis bahawa destinasi ku tidak sama dengan destinasi kapal ini, itu kisah lain. Aku tak tahu masa depan.

Buat sesiapa yang ada niat mahu menyertai menjadi sebahagian dari ahli kapal ini, satu saja aku mahu nasihat. "Nak masuk itu mungkin mudah, tetapi nak bertahan itu susah. Semoga berjaya"

Apakah nasib Pendar Ratna?

Jika anda adalah pembaca Pendar Ratna, teruskan tinggalkan komen di Sucomi bahagian Pendar Ratna. Ini kerana, aku perlu tahu berapa ramai yang masih ikuti Pendar Ratna. Namun, masa depan Pendar Ratna bukan hanya bergantung kepada berapa ramai pembaca. Ianya adalah satu keputusan sulit, yang melibatkan matlamat ku, masa depan ku dan hala tuju karier ku. Tapi saat post ini ditulis, aku masih mahu teruskannya. Doakan aku kuat, ya semua.